.... Pribumi Sarawak akan tolak BERSATU | AAKJ



Percaturan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam melebarkan sayapnya ke Sarawak disifatkannya satu langkah sia-sia kerana didakwa masih dangkal dalam resam politik tempatan di negeri itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rakyat di Bumi Kenyalang mempunyai cita rasa tersendiri dalam memilih hala tuju politik dan pentadbiran kerajaan.

Berteraskan konsep itu, katanya, UMNO memilih untuk tidak bertapak di Sarawak, sebaliknya memberi laluan kepada parti dengan latar belakang kepentingan tempatan menerajui kepemimpinan negeri berkenaan.

“Saya amat menghormati kehendak rakyat Sarawak, terutama masyarakat pribumi kerana mereka dan Sabah agak unik berbanding di Semenanjung.

“Tentunya apabila UMNO buat keputusan untuk tidak kembangkan sayap di Sarawak adalah kerana kita hormati cita rasa mereka.

“Kami yakin pribumi akan tolak kehadiran BERSATU kerana mereka lebih cenderung kepada parti yang menjaga kepentingan orang tempatan secara khusus,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat bersama ahli Dewan Negara daripada BN, bagi memperhalusi persiapan perbahasan beberapa usul yang akan dibentangkan pada sidang akan datang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi BERSATU, malam tadi melancarkan penubuhan parti berkenaan di Dewan Suarah Bintulu, Sarawak.

Dr Mahathir dilaporkan kagum dengan jumlah kehadiran yang ramai, sekali gus menunjukkan rakyat Sarawak ingin BERSATU melebarkan sayapnya ke negeri terbabit.

Menyentuh kerjasama dengan rakan parti komponen, Ahmad Zahid berkata, BN belum menerima sebarang makluman rasmi daripada MCA berhubung hasrat mereka untuk keluar daripada gabungan berkenaan.

“Tiada sebarang keputusan rasmi disampaikan kepada kami mengenai usaha keluar daripada BN, namun kita hormati sebarang percaturan dibuat rakan komponen sedia ada.

“Kita harapkan keputusan mesti dimaklumkan secara rasmi untuk tindakan politik selanjutnya dilakukan BN,” katanya.

Ditanya kaedah meraih undi Cina jika MCA keluar BN, Ahmad Zahid berkata, gabungan berkenaan mempunyai pendekatan tersendiri bagi ‘memancing’ sokongan kaum kedua terbesar itu.

Katanya, ‘resipi’ politik itu akan digunakan bagi menghadapi beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan seperti di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan Parlimen Cameron Highlands.

“Tentu tidak 100 peratus Cina sokong kerajaan sekarang ini, sebaliknya mereka pasti mengharapkan wujudnya parti alternatif yang lebih majmuk, khususnya menjelang PRK DUN Rantau dan Cameron Highlands,” katanya.

Mengulas mesyuarat yang diadakan hari ini, Ahmad Zahid berkata, semua 32 ahli Dewan Negara daripada BN menyuarakan kesetiaan untuk tidak ‘lompat’ parti walaupun ‘diumpan’ pelbagai habuan daripada pihak kerajaan.

tiada sambutan

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top