.... Perisytiharan harta pemimpin PH tak lengkap - NGO | AAKJ



NGO pemantau kerajaan menyifatkan usaha Pakatan Harapan (PH) mengisytiharkan harta pemimpinnya sebagai 'separuh masak' kerana tidak lengkap dan gagal menunjukkan keseluruhan aset wakil rakyatnya.

Ini walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menambah maklumat mengenai aset anggota parlimen PH di portal perisytiharan harta suruhanjaya itu pada 24 Nov selepas dikritik kerana hanya memaparkan gaji mereka.

"Kami mengatakan maklumat ini separuh masak dan tidak lengkap. Ia memerlukan banyak ketelusan untuk memberikan keyakinan kepada orang ramai," kata jurucakap Gabungan Tadbir Urus, Intergriti, Akauntabiliti dan Ketelusan (GIAT), Cynthia Gabriel.

Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri meja bulat mengenai reformasi pilihan raya di Parlimen hari ini.

Cynthia berkata maklumat mengenai pengiytiharan harta itu tidak lengkap kerana anggota parlimen tidak mengisytiharkan aset seluruh anggota keluarga mereka.

"Kami mendapati sebahagian daripada mereka mengisytiharkan harta mereka dengan anak-anak manakala yang lain isytihar dengan pasangan. Oleh itu skala aset akan berbeza.

"Sebaran maklumat perlu dilakukan secara profesional dan teratur.

"Juga apa yang kita dapati ialah aset secara lumsum, yang tidak termasuk berapa banyak rumah dan kereta. Saya percaya ada gesaan daripada rakyat Malaysia yang mahukan ketelusan ditahap yang lebih tinggi," kata Cynthia, yang juga pengarah eksekutif Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

Beliau turut meminta mereka yang masih belum mengisytiharkan harta supaya menyertai rakan-rakan mereka yang lain dalam PH dan Warisan.

Perkara 14 manifesto pilihan raya PH sebelum ini menyatakan bahawa "semua anggota Dewan Rakyat, Dewan Negara, dan pegawai kerajaan yang berjawatan Jusa C dan ke atas diwajibkan membuat pengisytiharan aset dan pendapatan."

SPRM pada asalnya merancang untuk menerbitkan kertas pengisytiharan aset pada 1 Okt, tetapi tarikh itu ditunda pada 15 Okt dan 1 Nov.

PH sebelum ini dikritik kerana hanya memaparkan pendapatan bulanan anggota kabinet bersama anggota parlimen dan bukan aset mereka.

Pada 5 Nov, Giat mengancam untuk menamakan dan memalukan ahli PH yang gagal mengisytiharkan aset mereka dalam masa dua minggu.


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top