.... Maszlee membina harapan, kemudian membunuh harapan | AAKJ



KETIKA Dr Maszlee Malik diangkat menjadi menteri pendidikan, saya begitu gembira. Akhirnya, seorang ahli akademik diangkat martabatnya menjadi menteri.

Harapan tinggi terhadap Maszlee perlahan-lahan surut apabila dia menerima jawatan presiden UIAM, ditambah dengan pengumuman berkenaan bayaran balik PTPTN akan bermula RM1,000.

Maszlee turut mendapat kritikan hebat melalui isu kasut hitam dan kolam renang. Sungguh unik seorang menteri ini.

Bagi saya, dia berjaya menimbulkan harapan pada awal lantikannya, kemudian perlahan-lahan membunuh harapan tersebut dengan pelbagai berita sensasi. Kini ramai mula meletakkan label di dahinya.

Saya cuba menulis pandangan saya dengan nada sederhana. Barangkali sebelum ini kritikan terhadap Maszlee terlalu keras, oleh itu dia dan pasukannya enggan menerima kritikan tersebut.

Kedegilan Maszlee belajar daripada sejarah terbukti apabila dia menyebut skandal 1MDB akan dimasukkan dalam silibus sejarah.

Sudah tentu kenyataan seperti ini akan digunakan oleh media untuk menjual berita mereka – sesekali laporan berita akan ditulis dengan nakal.

Laporan berita seperti ini tidak boleh dikatakan culas. Memang benar Maszlee menyebutnya.

Lebih malang, sudah beberapa kali Maszlee dibuli media kerana sifat tidak cermat yang dimilikinya.

Imej sosok menteri di Internet penting, memandangkan kebanyakan rakyat mendapatkan berita yang segar dan mudah di Internet. Kegagalan menteri menjaga imej akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap menteri merosot.

Melihat isu-isu remeh yang dikaitkan oleh Maszlee amatlah menyedihkan. Tidak keterlaluan jika saya katakan dia merupakan menteri Pakatan Harapan (PH) yang paling banyak diserang atas ayat yang keluar dari mulutnya sendiri.

Saya sarankan Maszlee untuk mengambil tempoh bertenang dan tidak terlalu banyak bercakap, lebih fokus bekerja.

Saya juga hairan dengan pasukan media Maszlee yang maha lambat memberikan respons terhadap isu-isu yang sedang tular.

Bagi saya, wajar Maszlee menetapkan standard kepada pasukan medianya. Misalnya laporan “nakal” berkenaan menteri pendidikan diterbitkan pada pukul 10 pagi, paling lewat pukul 10:30 pagi sudah ada kenyataan untuk membetulkan laporan tersebut, supaya segera persepsi negatif dibendung.

Saya fikir beberapa bulan menjadi menteri memberi Maszlee kefahaman tentang kesukaran menjadi politikus.

Walaupun mungkin banyak hal yang baik dilakukan oleh kementeriannya, kebanyakan media cuma gemar menyelak kain untuk mencari kesalahan, begitu juga warga Internet.

Isu 1MDB mungkin tidak salah dimasukkan dalam silibus, namun bukan itu yang kebanyakan rakyat mahu dengar.

Ramai yang sedang gusar dengan PH – lebih-lebih lagi banyak manifesto yang enggan dilaksanakan, oleh itu rakyat mahu melihat menteri bekerja keras.

Walaupun tidak adil membandingkan kementerian, barangkali pasukan Maszlee boleh belajar dari Kementerian Pengangkutan yang saya fikir berjaya menguruskan imejnya di Internet.

Maszlee harus mula membina semula momentum untuk menonjolkan kerja-kerjanya dan segera membalas serangan-serangan nakal terhadapnya.

Ia tidak mudah. Oleh kerana sebelum ini Maszlee sudah tercalit dengan “kedunguan”, maka semakin mudah masyarakat untuk percaya isu-isu remeh yang wujud sememangnya datang dari Maszlee.

Apakah kita sudah lupa pada Ahmad Maslan?

Oleh kerana masyarakat melihat sifat “dungu dan lawak” melekat pada bajunya, apa jua yang dilakukan olehnya akan terlihat dungu oleh kebanyakan orang.

Maszlee dan pasukannya harus segera melakukan sesuatu sebelum Maszlee bertukar menjadi Ahmad Maslan 2.0.

Sekiranya rombakan kementerian berlaku, saya melihat Maszlee merupakan calon utama untuk ditukar kementerian atau dibuang dari Kabinet. Membaca tulisan A Kadir Jasin – Dr Mahathir Mohamad “menyekolahkan” Maszlee – menguatkan lagi jangkaan itu.

Saya percaya ia akan memberi impak yang besar pada Maszlee jika dia “dirombak”, namun pastinya dia akan belajar daripada kesilapan.

Dia memiliki masa yang suntuk untuk memulihkan semula imejnya.

Walaupun saya kecewa dengan prestasinya, semoga dia kembali fokus dan berjaya keluar dari jerat media yang selalu mengena. – 4 Disember, 2018.

* Rahman Imuda ialah bekas aktivis mahasiswa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top