.... ICERD: Tidak sesuai anjur perhimpunan buat masa ini - Guan Eng | AAKJ



Pembangkang tidak dihalang untuk mengadakan perhimpunan aman bagi meraikan kejayaan selepas kerajaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD).

Namun demikian, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata perhimpunan itu dilihat tidak sesuai dilakukan selepas mengambil kira situasi sekarang.

Katanya, pembangkang perlu mengambil kira pandangan yang telah disuarakan pelbagai pihak termasuklah perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri dalam negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum membuat keputusan meneruskan perhimpunan itu.

"Dengarlah nasihat menteri dalam negeri dan perdana menteri dan beberapa pakar lain, termasuk dari negeri Kelantan. Dalam kalangan mereka pun ada beri nasihat, demi keselamatan negara, keamanan dan ketenteraman, (perhimpunan) ini tidak harus diteruskan.

"Tetapi terpulang kepada mereka. Bagi saya, secara peribadi, saya rasa siapa yang nak buat perhimpunan, sekiranya dalam keadaan aman, itu memang dibenarkan. Tapi dalam keadaan seperti ini, saya rasa itu tidak berapa sesuailah buat masa ini. Ada banyak nasihat yang telah dikeluarkan, termasuklah daripada saya sendiri," kata Guan Eng.


Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika mengulas rancangan mengadakan perhimpunan besar-besaran membabitkan penyertaan anggota Pas dan UMNO yang tetap akan diteruskan walaupun kerajaan membatalkan hasrat untuk meratifikasi ICERD.

Pada 23 November lalu, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Antara yang menyuarakan pandangan, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menasihatkan agar perhimpunan yang akan diadakan pada 8 Disember ini tidak diteruskan kerana isu berkenaan sudah selesai.

Katanya, perhimpunan itu nanti dibimbangi akan menyebabkan berlakunya permasalahan lain membabitkan kaum, tambahan pula baru sahaja berlaku kejadian rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top