.... Polis Turki serbu dua vila cari mayat Jamal Khashoggi | AAKJ



ANKARA: Polis Turki hari ini, menyerbu dua vila di barat laut negara itu bagi mengesan mayat wartawan warga Arab Saudi, Jamal Khashoggi yang mati dibunuh pada 2 Oktober lalu.

Sekumpulan anggota polis menjalankan operasi mencari di vila dua tingkat di daerah Termal, di Yalova dengan bantuan anjing pengesan dan dron sejak pagi tadi.

Menurut agensi berita Anadolu, operasi kemudiannya diteruskan ke vila bersebelahan.

“Pasukan penyiasat turut memeriksa telaga yang berada di taman vila pertama di perkampungan Samanli,” lapor Anadolu.

Yang turut kelihatan di lokasi adalah trak milik pasukan bomba.

Jamal yang juga kolumnis akhbar The Washington Post dilaporkan dibunuh ketika berada di dalam bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul pada awal Oktober lalu.

Sehingga kini, mayatnya masih belum ditemui.

Operasi mencari itu dijalankan kira-kira dua minggu selepas akhbar tempatan melaporkan sampel yang diambil dari parit bangunan konsulat Arab Saudi menunjukkan kesan asid, yang disyaki digunakan untuk melupuskan mayat Jamal. - AFP

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top