.... PH tak dapat sahkan Equanimity milik Jho Low | AAKJ



Status pemilikan kapal mewah Equanimity yang sebelum ini Kerajaan PH dakwa milik Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low kini diragui dengan jawapan terbaru oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin.

Hanipa yang disoal oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusoff bagaimanapun tidak menjawab soalan tambahan yang diajukan itu dan hanya berkata jika ia tidak betul, bantahan perlu dibuat.

“Adakah kerajaan boleh sahkan kapal itu milik Jho Low kerana Timbalan Menteri ada meminta untuk Jho Low kembali ke Malaysia bagi tujuan pendakwaan.

“Adakah sejauh mana maklumat yang telah dimiliki oleh pihak kerajaan mengenai kapal itu, memandangkan kapal itu didaftarkan di Kepulauan Cayman,” soal Zailah pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata jika ada pihak yang merasakan kapal itu bukan milik Jho Low, sepatutnya pihak itu pergi ke mahkamah dan mendapatkan khidmat peguam untuk mencabar.

“Tapi untuk kes ini, tiada cabaran yang dibuat oleh pihak tersebut. Saya pun hairan. Jika mereka kata itu bukan milik mereka, mereka patut buat (cabar di mahkamah),” jawabnya yang dilihat tidak menjawab pertanyaan Siti Zailah.

Terdahulu Hanipa yang menjawab soalan Ahli Parlimen DAP Taiping, Tuan Teh Kok Lim berharap agar Jho Low kembali ke Malaysia untuk dikenakan pertuduhan sekali gus boleh membela diri.

“Sebab dia kata tak bersalah. Mana-mana pihak yang nak tolong untuk dapatkan Jho Low itu, bolehlah berhubung dengan pihak polis supaya dia boleh kembali ke Malaysia,” katanya.

Untuk makluman kapal tersebut kini berada di Langkawi untuk proses lelongan.

Kapal sepanjang 92 meter itu belayar dari Pelabuhan Klang dan berlabuh di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut Langkawi.

Dua buah bot peronda polis iaitu PA45 dan PSC18 bersama sebuah kapal perang TLDM, KD Teguh telah mengiringi kapal layar itu sepanjang perjalanan sebelum tiba di Langkawi. – Oleh MAHIRAH ZAKARIA

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top