.... Pembuangan Pekerja Berlanjutan Sehingga 5 Tahun Akan Datang? | AAKJ



Penstrukturan semula organisasi syarikat dan sumber tenaga manusia menerusi langkah pembuangan pekerja di sektor swasta dijangka semakin meruncing, malah bakal berlanjutan melangkaui 2020.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, menyifatkan majoriti peneraju industri perniagaan dan sektor swasta di Malaysia ketika ini mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’, termasuk dalam mencatur sebarang pelaburan jangka panjang kerana gusar dengan pelbagai dasar ekonomi kerajaan.

Katanya, ia turut berpunca daripada bebanan peningkatan kos operasi susulan tempias pelaksanaan gaji minimum yang akan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan dan peralihan tanggungan caj levi pekerja asing kepada majikan.

“Melihat kepada senario perkembangan semasa, saya tidak menolak perkara ini (pembuangan pekerja) boleh berlanjutan sehingga empat atau lima tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Penerbitan MEF 2018, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MEF, Tan Sri Azman Shah Haron.

Shamsuddin berkata, siri impak negatif yang dialami majikan tidak akan membuka peluang untuk mereka menjana pendapatan dan pulangan pelaburan, sekali gus merencatkan kadar kutipan cukai kerajaan daripada sektor swasta.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan tidak sepatutnya menaikkan kos mengendalikan perniagaan supaya sebarang pulangan hasil sektor swasta berupaya digunakan untuk menjana pendapatan daripada pelaburan berkaitan.

“Contohnya, RM3 bilion ditanggung majikan demi menjelaskan bayaran levi pekerja asing sewajarnya dapat digunakan bagi menjana pelaburan, sama seperti kos diperuntukkan untuk menampung peningkatan gaji minimum kepada RM1,100 yang akhirnya tidak memanfaatkan tenaga buruh tempatan.

“Kita faham kerajaan hilang banyak hasil susulan peralihan kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), selain terpaksa kembali bergantung kepada pendapatan PETRONAS, namun langkah ‘menekan’ majikan dengan melaksanakan pelbagai dasar yang tidak tepat hanya bakal memburukkan keadaan.

“Jalan terbaik ialah kerajaan harus mengadakan perbincangan dengan majikan, menerusi MEF dan pihak berkaitan supaya sebarang dasar yang akan dirangka tidak mencetuskan impak negatif,” katanya.

Mengulas mengenai pelbagai majlis dan jawatankuasa rundingan yang pernah diwujudkan sebelum ini,

Shamsuddin berkata, pihaknya difahamkan kerajaan menarik balik semua pelantikan ahli serta akan mengumumkan senarai anggota baharu.

Bagaimanapun, katanya, barisan ahli bagi menganggotai majlis dan jawatankuasa berkenaan belum diputuskan pasca enam bulan pembentukan kerajaan susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Sementara itu, Ahli Majlis MEF, Datuk Seri Tan Thian Poh, berkata memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Nepal berhubung kemasukan buruh asing yang menyaksikan majikan terpaksa menanggung bayaran rekrut, tiket penerbangan dua hala, visa, pemeriksaan kesihatan dan caj levi bakal mengundang impak negatif.

“Saya dengar MoU sama akan dimeterai kerajaan dengan Bangladesh supaya semua bayaran membawa masuk buruh asing ditanggung majikan, bukan pekerja seperti yang dilaksanakan sebelum ini, justeru ia akan meningkatkan bebanan kos operasi kami,” katanya.

Thian Poh turut menyuarakan harapan supaya ‘harga diskaun’ bayaran levi bagi pekerja asing yang berkhidmat melebihi tempoh 10 tahun di negara ini di sektor pertanian dan perladangan diperluaskan, berbanding hanya terhad kepada segmen tertentu.

Beliau yang menjadi antara peneraju sektor pengeluaran tekstil berkata pihaknya menampung kos bayaran levi seorang pekerja asing melebihi RM10,000 setahun, manakala pertanian dan perladangan menikmati kadar berbeza, iaitu RM3,500.

“Kenapa perlu ada dasar pilih kasih, sebaliknya perluaskan kadar khas ini kepada sektor lain yang turut menyumbang kepada pendapatan negara,” katanya.


sumber

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top