.... ICERD Sebenarnya Baik, UMNO Punca Suasana Tidak Stabil – Khalid Samad | AAKJ



Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Abdul Khalid Samad berkata ICERD sebenarnya baik untuk negara.

Beliau yang juga Menteri Wilayah menjelaskan tujuan kerajaan membangkitkan isu ICERD adalah untuk dikaji dan dibahas kesesuaiannya dengan perlembagaaan.

“Sebenarnya kerajaan harapkan ICERD boleh dibincang secara tenang dan dikaji sejauh mana sebenarnya bercanggah serta sesuai kepada Perlembagaan namun malangnya ia tidak dapat dibahaskan.

“ICERD sebenarnya adalah baik yang menghalang diskriminasi kaum semata-mata,” ujarnya pada Majlis Santai Amanah Sarawak Bersama Media, dipetik dari laporan Utusan.

Mengulas lanjut, Khalid mendakwa kewujudan bantahan terhadap ICERD disebabkan penentangnya tidak faham dan baca ICERD.

Dakwanya lagi ucapan berapi-api pemimpin UMNO dan Pas turut membuatkan orang biasa dipengaruhi apabila dikaitkan dengan kehancuran negara, institusi raja, Islam dan Melayu.

“Ianya dilakukan semata-mata untuk wujudkan suasana tidak stabil, mungkin dengan harapan dapat selamatkan pemimpin UMNO yang sedang dihadapkan ke mahkamah satu persatu.

“Semenanjung ada UMNO guna isu ini dan Pas juga terikut-ikut ditambah dengan dakwaan pemimpinnya menerima bantuan kewangan daripada parti itu,” katanya.

Isu ICERD mula dibangkitkan Menteri Perpaduan, P Waytha Moorthy apabila menyatakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan dan meratifikasikan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama 2019.

“Saya ingin menyatakan bahawa meratifikasi konvensyen-konvensyen ini termasuk ICERD adalah selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Komitmen ini bukan sahaja diberi oleh saya tetapi juga Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Dr Mujahid Rawa. Ia diperkukuhkan lagi oleh kenyataan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini,” katanya, dipetik dari kenyataannya kepada Bernama bulan lalu.

Pengumuman tersebut kemudiannya dikritik pelbagai pihak berikutan kebimbangan tindakan meratifikasikan ICERD dilihat bercanggah dengan perlembagaan negara serta akan menghakis hak keistimewaan orang Melayu Islam dan kaum Bumiputera, serta menjejaskan kepentingan agama Islam.

Dalam perkembangan berkaitan, semalam kerajaan PH mengumumkan penangguhan ratifikasi ICERD atas alasan demi kepentingan rakyat dan keselamatan negara.

“Kerajaan berharap penangguhan itu akan menamatkan terus perdebatan berkaitan ICERD serta ketegangan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” lapor Harian Metro yang memetik kenyataan itu. – SuaraTV

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top