.... Harapan Coin scam terbaharu? | AAKJ



PERKATAAN scam mula digunakan di Amerika Syarikat seawal tahun 1960-an yang merujuk kepada komplot mewujudkan skim atau rancangan bagi menipu orang ramai untuk keuntungan cepat.

Ia kemudiannya menjadi popular dalam slanga merujuk kepada kegiatan jenayah di negara tersebut setelah digunakan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalam sebuah operasi banteras pengedaran dadah.

Kamus Cambridge kemudiannya mendefinisikan scam sebagai “an illegal plan for making money, especially one that involves tricking people.”

Justeru agak memalukan apabila kita perhatikan kerajaan hari ini telah dipengaruhi unsur scam ini. Sudah tentu scam terbesar ialah Manifesto Pakatan Harapan apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengakui ia disediakan tanpa hasrat untuk melaksanakan sepenuhnya.

Kemudian kita membaca kisah seorang ahli perniagaan yang menyumbang beratus ribu kepada Pakatan Harapan Perak dalam pilihan raya lalu kerana dijanjikan sebagai Penasihat Ekonomi Negeri. Beliau akhirnya mendedahkan setelah tidak dilantik ke jawatan terbabit. Ini baru seorang yang bersuara.

Dalam Bajet 2019 juga terdapat kritikan bahawa pengenalan insentif P2P dalam aktiviti penjualan rumah merupakan satu scam kerana tidak jelas pelaksanaannya dan boleh menyebabkan pembeli rugi pada masa hadapan.

Malah tindakan Menteri Kewangan melancarkannya bersama sebuah syarikat pemaju dua hari selepas pembentangan bajet (Bajet 2019 belum diluluskan) menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.

Baru-baru ini dua menteri hadir dalam majlis sebuah syarikat yang dikatakan terkait dengan kegiatan scam.

Scam terbaharu dan sangat membimbangkan ialah permintaan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, supaya kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) menerima penggunaan Harapan Coin dalam kegiatan urusan kewangan negara.

Adalah sangat membimbangkan ketika nilai Ringgit Malaysia sedang terjunam berbanding AS$, dan rizab BNM yang makin mengecil, kerajaan sibuk untuk mencari jalan membenarkan Harapan Coin digunakan secara rasmi dalam uru­san negara. Ini hanya akan menambah indeks ketidakpercayaan pelabur terhadap ekonomi negara.

Harapan Coin ialah sejenis cryptocurrency atau mata wang digital yang diperkenalkan oleh sebuah syarikat sebelum pilihan raya umum lalu, dengan Khalid Samad sebagai jurujual utamanya.

Dalam klip video promosi tersebut Khalid Samad yang menjadi “jurujual” menyatakan Harapan Coin dijual sebagai mencari sumbangan kepada Pakatan Harapan untuk menjatuhkan Barisan Nasional dalam pilihan raya lalu. Semua wang pembelian Harapan Coin dibahagikan antara parti politik dan syarikat terbabit.

Apakah makna mata wang digital ini? Mata wang digital atau kripto pertama kali muncul dengan pengenalan bitcoin. Sehingga hari ini Bitcoin dan lain-lain mata wang digital masih menjadi satu polemik di seluruh dunia.

Jangan keliru mata wang digital dengan transaksi digital. Transaksi digital masih menggunakan mata wang sedia ada sesebuah negara. Manakala mata wang digital merupakan satu jenama baharu yang terhasil melalui penjanaan sistem komputer, dan tidak terikat kepada peraturan-peraturan ekonomi sebenar.

Nilai mata wang digital ditentukan sepenuhnya oleh spekulasi ada orang akan membeli dengan harga lebih mahal. Ia boleh runtuh apabila tiada permintaan untuk membeli. Ini sama seperti spekulator mata wang yang menyebabkan krisis kewangan 1997.

Namun spekulasi mata wang digital ini lebih berbahaya kerana bukan sahaja nilainya tidak bersandarkan apa-apa realiti, malah kenaikan nilai hanya dengan harapan suatu hari nanti ia akan digunakan dalam semua transaksi. Mereka mewujudkan keadaan ekonomi palsu atau false economy.

Ini berbeza dengan mata wang fiat seperti Ringgit, Dolar, Pound Sterling dan lain-lain mata wang rasmi yang dijamin oleh Bank Pusat negara terbabit. Walaupun nilai mata wang fiat juga ditentukan oleh pasaran namun ia mempunyai unsur kawalan dan jaminan oleh Bank Pusat.

Sudah tentulah mata wang fiat juga boleh hilang nilai dalam keadaan luar biasa seperti kiamat ekonomi, perang dunia, kerajaan terbabit muflis atau Bank Pusat mencetak wang melebihi sepatutnya. Namun risikonya sangat kecil berbanding mata wang digital yang tidak bersandarkan realiti ekonomi.

Jika dibaca di laman web mereka jelas Harapan Coin telah dijual untuk membiayai tabung politik Pakatan Harapan. Hari ini Harapan Coin (HRP) tidak bernilai apa-apa walaupun mereka meniaganya pada nilai HRP100 bersamaan dengan AS$45.

Namun sebaik sahaja kerajaan membenarkan penggunaan Harapan Coin untuk urusan rasmi ia akan menjamin nilai Harapan Coin. Pemilik Harapan Coin boleh membayar cukai dan membeli barangan di Malaysia menggunakan HRP dan Bank Negara perlu menerima permintaan penukaran HRP kepada mata wang lain.

Harapan Coin jika dilaksanakan merupakan scam yang lebih besar berbanding manifesto mereka.

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan nasionalis (Akar)


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top