.... Guna cara DAP untuk pulihkan negara | AAKJ




GEORGETOWN - Kerajaan PH akan mengguna pakai pendekatan tiga teras dalam usaha membaiki ekonomi negara untuk memberikan keyakinan kepada pelabur dan meningkatkan mutu kehidupan rakyat.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, tiga teras yang diguna pakai oleh kerajaan adalah "pro grow" iaitu rancakkan ekonomi, "pro job" wujudkan peluang perkerjaan dan "pro poor" atasi masalah kemiskinan, untuk membina balik negara agar rakyat akan hidup senang dibawah pentadbiran PH.

Katanya, pendekatan itu diguna pakai oleh pentadbiran DAP di Pulau Pinang dengan berjaya sejak 2008 dan ia juga kini diguna pakai untuk membaiki ekonomi negara di peringkat nasional.

"Ketiga-tiga teras pendekatan itu atau secara ringkasnya sektor ekonomi, pendidikan dan kesihatan diguna pakai dalam usaha merangka bajet pertama PH dan juga membaiki ekonomi negara selepas BN," katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP merasmikan Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang yang turut dihadir barisan kepimpinan parti negeri bersama 791 perwakilan negeri.

Beliau berkata kerajaan PH harus melakukan yang terbaik untuk memastikan ekonomi negara berada dalam landasan yang betul untuk memberikan kehidupan yang bagus untuk rakyat.

"Kalau kita tidak boleh tunjukkan masa depan ekonomi yang cerah untuk rakyat, susahlah untuk kita. Kalau kita boleh tunjuk ekonomi lebih baik sekarang, PRU depan kita tidak perlu bimbang, kita pasti akan menang," katanya.

Sementara itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, DAP akan memberi sokongan penuh kepada Perlembagaan Persekutuan namun parti itu mengecam permainan politik parti pembangkang yang mainkan sentimen perkauman dan ekstremis sedangkan fokus kerajaan PH kini adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan memulihkan ekonomi negara.

Katanya, untuk membina negara semua pihak perlu memahami konsep kenegaraan dan menghormati perlembagaan persekutuan.

"Dalam usaha membina balik negara, kita mesti tumpukan kepada rakyat tidak kira latar belakang, bangsa dan agama barulah kita boleh wakili seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata pihak pembangkang tidak mempunyai modal lagi dan mereka tiada semangat Malaysia, hanya semangat peribadi dan kepentingan politik. - Bernama

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top