.... Bukan rusuhan kaum - sami kuil | AAKJ



Pergaduhan di Kuil Sri Sakthi Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya awal pagi tadi bukan satu rusuhan kaum, kata sami kuil itu S Jayakumar.

Beliau justeru meminta orang ramai tidak membuat sebarang andaian.

“Saya meminta orang ramai dan penganut Hindu di Malaysia supaya bersabar dan tidak membuat sebarang provokasi di media sosial”.

“Semuanya bawah kawalan dan perjuangan kita akan diteruskan. Kita mahu kuil ini tetap berada di sini,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau bagaimanapun berkata kesal dengan pihak yang terlibat dengan pergaduhan, yang digelarnya sebagai “penceroboh”.

“Kita semua tahu bahawa dua penceroboh dicederakan oleh pihak kuil. Salah seorangnya sengaja memijak patung dewa, manakala seorang cuba merosakkan lampu pelita dengan parang yang berada di dalam kuil.

“Dua orang inilah dicederakan oleh pihak kuil,” katanya.

Jayakumar juga berkata pergaduhan itu bukan satu rusuhan kaum.

“Saya ingin tegaskan kejadian pagi tadi bukan rusuhan kaum, sebaliknya tindakan zalim pihak yang ingin meroboh kuil ini,” katanya.




K Selvam

Sementara itu, seorang lelaki yang mendakwa menjadi tebusan ketika kejadian berkata “penceroboh” bertindak atas arahan orang luar.

“Ketua penceroboh tersebut sering menelefon kepada seorang untuk menerangkan keadaan dan mendapatkan arahan baharu.

“Setahu saya mereka ambil lima tebusan agar untuk melakukan kerja mengalihkan patung kuil. Tetapi, ia tidak dapat dilakukan setelah pihak kuil menyerang balik,” jelas K Selvam.

MIC sumbang RM20,000

Terdahulu, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran menyumbangkan RM20,000 kepada pihak kuil.

Vigneswaran yang turut menghadiri ke kuil pagi tadi meminta orang ramai supaya tidak mempolitikkan isu ini.

“Biar pihak bertanggungjawab menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu, persekitaran kuil masih sesak.

Sehingga 5 petang ini, lebih 500 penganut dan orang awam berada di perkarangan kuil untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan kejadian awal pagi tadi.

Menurut seorang penduduk Subang yang hanya dikenali sebagai Nathan berkata beliau berada di kuil sejak 7 pagi untuk menunjukkan sokongan kepada pihak kuil.

“Sebagai seorang beragama Hindu saya menyatakan sokongan saya kepada pihak kuil agar kuil ini terus kekal di sini,” katanya diikuti laungan “kami juga sokong” oleh orang awam yang berada di sekitarnya.


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top