.... [VIDEO] Politik wang: Dulu kata pada UMNO, sekarang baru faham masalah - Rafizi | AAKJ



Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengakui sukar untuk membuktikan berlakunya amalan politik wang dalam pemilihan partinya walaupun beliau sebelum ini pernah mengutarakan dakwaan mengenai berlaku gejala tersebut dalam Pemilihan PKR.

“Soal politik wang sama juga dengan soal untuk menangkap orang yang melakukan rasuah. Selalunya kesukaran itu ialah pembuktian dalam bentuk dokumen dan sebagainya.

“Bukan mudah untuk menangkap orang yang melakukan politik wang. Kalau dulu kita perlekehkan UMNO, sekarang bila kita mempunyai kuasa (menjadi kerajaan) baru kita faham mengenai masalah membabitkan penyalahgunaan kuasa,” katanya di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar di pekarangan Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Taman Cempaka, tempat Pemilihan PKR Cabang Pandan.

Bagi peringkat Cabang, Rafizi turut merebut jawatan Ketua Cabang Pandan dan beliau akan dicabar oleh Ketua Wanita PKR Selangor, Haniza Talha yang menyebelahi satu lagi calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pemilihan di Cabang Pandan sejak pagi tadi dipenuhi dengan para penyokong mereka yang bertanding terutama Rafizi dan Mohamed Azmin dan berlaku perang mulut sesama mereka termasuk menyindir calon-calon tersebut dengan pelbagai gelaran.

Keadaan juga menjadi sedikit tegang pada pukul 10 pagi tadi apabila pintu dewan pengundian dibuka lewat berbanding jadual sebenar.

Proses pemilihan turut dihadiri oleh penyanyi lagu Amalina, Santesh yang dilihat memberi sokongan kepada Haniza serta kem Mohamed Azmin.

Pada masa sama Rafizi turut meluahkan rasa kecewanya apabila Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR tidak menggunakan teknologi pengimbas kad pengenalan yang pernah dicadangkan beliau sebelum ini kerana risau berlakunya risiko individu lain mengundi bagi pihak orang lain.

Hari ini juga berlangsung pemilihan PKR di lima lagi Cabang Selangor iaitu Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Shah Alam dan Hulu Langat yang mempunyai lebih 60, 000 ahli PKR yang layak mengundi.

Rafizi turut menjangkakan beliau akan tewas kepada Mohamed Azmin dalam Pemilihan PKR peringkat negeri Selangor tetapi dengan margin yang tipis dan beliau percaya mampu untuk mendapat sokongan di Sabah dan Sarawak iaitu dua lagi negeri yang belum mengadakan pemilihan.

Pemerhati politik sebelum ini melihat Rafizi akan menang di dua negeri Borneo itu sekali gus berpeluang cerah menjadi orang nombor dua tertinggi PKR. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/video-politik-wang-dulu-kata-pada-umno-sekarang-baru-faham-masalah-rafizi-1.776497#ixzz5VCXv6M46
© Utusan Melayu (M) Bhd




Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top