Ahmad Zahid dilihat tiba pada pukul 5.30 petang dan dipercayai pertemuan itu susulan kenyataan beliau baru-baru ini untuk berbincang dalam menentukan calon ketua pembangkang di samping hal berkaitan Pililihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor.

Pertemuan selama kira-kira satu jam 30 minit itu difahamkan merupakan yang pertama buat kedua-dua pemimpin parti pembangkang, dua parti Melayu dan Islam selepas pemilihan dalam UMNO dan hasilnya pasti dinantikan.
Antara yang turut hadir adalah Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali; Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan pimpinan Pas negeri.
Kenderaan yang membawa Ahmad Zahid kemudian dilihat beredar keluar daripada pekarangan pejabat itu kira-kira pukul 6.57 petang.
Sementara itu ada kalangan yang mengharapkan pertemuan itu sebagai asas bagi membincangkan hala tuju bersama dua parti itu ketika perkembangan politik semasa menuntut perbezaan diketepikan, dan pembinaan semula kekuatan bersama bagi mempertahankan masa depan agama dan bangsa yang kian tercabar.
Tuntutan ke arah itu makin kedengaran yang antara lain menyentuh persoalan kepentingan bangsa dan agama yang kian di kesampingkan di bawah kepemimpinan kerajaan Pakatan Harapan bagi memenuhi pendekatan kompromi yang dijadikan tawaran dan menjadi salah satu punca membawa kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.- UTUSAN ONLINE