.... UUM siasat dakwaan pelajar terlibat fahaman ateis | AAKJ



KUALA LUMPUR 21 Julai – Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan wujud golongan pelajar universiti itu yang terlibat dalam akti­viti menolak kewujudan tuhan atau berfahaman ateis.
Bagaimanapun menurut Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang laporan atau aduan berhubung perkara tersebut.
“Kami sentiasa memantau perkembangan pelajar. Setiap maklumat yang kita terima akan disiasat. Kita percaya fahaman ateis ini jika wujud, hanyalah kes-kes terpencil.
“Berkaitan pelajar luar, kita tidak dapat memastikan fahaman atau ideologi mereka kerana selagi tingkah laku mereka tidak menjejaskan ketenteraman awam, kita tidak boleh ambil tindakan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Laporan Khas Utusan Malaysia hari ini mendedahkan pelajar institusi pengajian tinggi tempatan merupakan golongan paling ramai terjebak dengan kegiatan ateis.
Perkara itu didedahkan oleh pendakwah Yayasan Maklumat dan Khidmat Islamik, Mas Yuri Mahyiddin yang mengatakan bahawa daripada ratusan kes yang dipercayai wujud, 60 peratus adalah melibatkan golongan muda iaitu pelajar universiti.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, be­liau menyedari mengenai fahaman tersebut tetapi percaya ia tidak berlaku di universiti itu.
“Secara umumnya masyarakat negara ini berpaksikan kepada agama kerana ia adalah asas paling penting sebagai panduan untuk menjamin keharmonian negara.
“Begitu juga di universiti, sama ada pelajar, pensyarah atau pekerja am masing-masing mempunyai agama yang berlainan, tetapi masih berpaksikan kepada agama masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali pula berkata, buat masa ini tiada isu yang berlaku berkaitan fahaman ateis di universiti tersebut.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top