Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri,

Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, perkara tersebut perlu diambil perhatian oleh kementerian berkaitan dibawah kerajaan baharu, Pakatan Harapan (PH).
Katanya, beliau kecewa dengan tindakan sesetengah jabatan Persekutuan di sini hingga menyebabkan program dirancang untuk manfaat kepada ibu bapa yang melahirkan anak tertunda.
“Sepatutnya pada 3 Julai lalu, program ‘Reading Seed’ dirancang Pustaka Negeri Sarawak untuk mengagihkan 1,000 kit bahan bacaan kepada ibu baharu melahirkan anak-anak di hospital dan klinik di Sarikei dan Sibu tidak dapat diteruskan.
“Saya merasa perkara ini sangat tidak adil kerana program sebegini dibuat untuk kebaikan anak-anak Sarawak tanpa mengira fahaman politik, yang ruginya permata negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Pemeriksaan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak di pusat beli-belah CityOne Megamall, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, wakil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Erick Jusiang, Pengarah Urusan Mummycare, Alicia Voon dan Pengurus Besar Cityone, Brandon Lo.
Kit bahan bacaan itu dihasilkan anak tempatan dengan visual menarik bagi merangsang perkembangan otak anak-anak bernilai RM72 dirancang untuk diagihkan di seluruh negeri ini.

Sehubungan itu, beliau meminta, kementerian berkaitan mengeluarkan garis panduan jelas kepada jabatan atau agensi Persekutuan di sini apa yang boleh dan tidak boleh dibuat selepas ini.
“Sekiranya garis panduan ini ada, kita dapat mengetahui hitam putih perkara berkenaan lantas mengambil pendekatan yang lain,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE