Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sehubungan dengan itu satu jawatankuasa ditubuhkan bagi menyelaras perkara tersebut yang diketuai timbalannya, Datuk Othman Aziz.
Katanya, bedah siasat tersebut antaranya melibatkan pengumpulan maklumat di peringkat bahagian termasuk berkaitan faktor parti ditolak rakyat pada PRU-14.
“Mesyuarat badan perhubungan pertama malam tadi memutuskan agenda pertama kita adalah melakukan bedah siasat secara terperinci dengan menubuhkan jawatankuasa yang diketuai oleh timbalan pengerusi.
“Jawatankuasa ini akan mengumpulkan maklumat daripada 15 bahagian apakah faktor kekalahan parti di kawasan itu secara terperinci dan dalam tempoh sebulan kita akan dapatkan maklum balas.
“Daripada maklumat itu UMNO Kedah akan rangka visi dan misi untuk bergerak, “ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kepimpinan bahagian dan sayap negeri di sini hari ini.
Turut hadir timbalan, Datuk Othman Aziz, setiausaha, Datuk Hashim Jahaya dan bendaharinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Mengulas lanjut kata beliau, UMNO Kedah meminta semua pemimpin di peringkat bahagian memberikan komitmen dalam memastikan usaha tersebut berjalan lancar.
“Semua 15 bahagian akan memberi maklum balas itu termasuk dari Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menang.
“Kita nak lihat apakah faktor atau kelebihan bahagian itu yang membawa kemenangan parti di dua Parlimen dan tiga DUN ini,” katanya.
Menyentuh mengenai pelantikannya sebagai pengerusi parti di negeri ini katanya, UMNO Kedah akan berusaha menjadi pembangkang yang terbaik demi rakyat negeri ini termasuk berkaitan isu-isu yang dilihat akan menekan kehidupan mereka.