Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baharu dilantik Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, mereka tidak akan bertindak seperti kerajaan DAP sebelum ini yang membangkang semua perkara biarpun membawa kebaikan untuk rakyat.

Menurutnya, UMNO juga harus berubah untuk menjadi lebih kuat serta menjadi pembangkang yang mampu menegur kerajaan negeri sekiranya terdapat ksu yang menggugat kehidupan rakyat.
“Dulu kerajaan DAP dan Pakatan Harapan hanya pandai membangkang setiap tindakan kita biarpun memberi kebaikan kepada rakyat tapi UMNO kini akan menjadi pembangkang yang bijak.
“Kita terima andai ada perkara baik yang dilakukan kerajaan negeri malah sedia beri kerjasama tapi pada masa sama kita akan tegur andai ada kesilapan yang dibuat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam sebelum ini Setiausaha UMNO negeri menggantikan Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang mengundur diri dan tidak mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal.
Sambil menyifatkan tanggubgjawab yang dipikulnya amat berat, Musa menjelaskan beliau akan bekerjasama dengan ketua bahagian yang lain serta pemimpin di peringkat sayap untuk memimpin UMNO di saat sukar seperti ini.
“Saya juga akan laksanakan tugas yang diamanahkan ini dengan baik dan berharap semua ahli UMNO di Pulau Pinang memberi sokongan kepada saya,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE