Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ir. Mohd. Khoushaini Mohd. Naim berkata, UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina di mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.

Di samping itu katanya, UEC dikendalikan dalam bahasa lain dan tidak mengikuti silibus Kementerian Pendidikan.
“Ini soal pembinaan negara, pengiktirafan UEC adalah bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
“Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama harus diyakini rakyat dalam memajukan negara bukannya direndahkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Isnin lalu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengumumkan pengambilan lulusan UEC akan dilaksanakan sebagai syarat perjawatan peringkat negeri itu, selaras sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). - UTUSAN ONLINE