Bekas Peguam Negara itu berkata, keputusan itu diambil selepas berfikir panjang dan melakukan solat istikharah memohon petunjuk sama ada wajar untuk menerima atau menolak jawatan tersebut.

"Siang tadi saya teruja dan bersemangat untuk memikul tanggungjawab tersebut, tetapi selepas melakukan solat istikharah dan fikir lebih baik saya tidak menerima jawatan itu.

"Banyak kontra dan kesan buruk terhadap kerjaya saya sebelum ini serta UMNO sekiranya saya memegang jawatan tersebut, justeru adalah lebih baik saya menolaknya," katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Jelas Mohamed Apandi, beliau telah memaklumkan mengenai keputusannya itu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
"Ya, saya telah hubungi Presiden dan beliau menerima keputusan saya itu dengan baik," katanya.
Mohamed Apandi antara 11 nama yang diumumkan sebagai Ahli MT lantikan oleh Presiden UMNO.
Turut dilantik termasuk Datuk Seri Anifah Aman, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib, Datuk Johan Abdul Aziz, Datuk Azizah Mohd. Dun, Datuk Abdul Rahman Mohamad, Datuk Seri Hajiji Noor. - UTUSAN ONLINE