Pengerusi PKR negeri, Mohammad Faisol Abd. Rahman berkata, pihaknya berpandangan terbuka dan berharap proses pemilihan nanti berjalan dengan baik dan telus.
Katanya, Mohamed Azmin yang memiliki karisma serta telah berjaya membuktikan kewibawaan mentadbir Selangor melayakkannya untuk mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden atau bertanding bagi jawatan Presiden.
“Bagi saya, setiap pertandingan ada menang dan ada yang kalah. Kita raikan demokrasi sihat ke arah memperkukuhkan parti.
“Kita serahkan kepada Mohamed Azmin untuk membuat pilihan jawatan apa yang beliau hasrat untuk bertanding dan PKR negeri akan menyambut baik amalan demokrasi ini. Begitu juga untuk saudara Rafizi Ramli berhak memilih mana-mana jawatan untuk bertanding,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Semalam Rafizi yang juga Naib Presiden PKR mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu, bulan depan.
Manakala Mohamed Azmin sebagai penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR sehingga kini masih berteka-teki mengenai keputusan untuk bertanding dalam pemilihan PKR kali ini. - UTUSAN ONLINE