Semua aku janji calon presiden akan diteliti
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu perlu dalam membuat rombakan utama pentadbiran parti berkenaan sekaligus mengembalikan semula kepercayaan perwakilan, akar umbi dan orang ramai.


“Cadangan kedua-dua calon sebelum ini tidak akan dipinggirkan oleh UMNO dan kita akan membuat perincian setiap daripadanya sekaligus menggunakannya sekiranya perlu.
“UMNO tidak sesekali meninggalkan dua pemimpin berkenaan dan kita harap mereka juga berlapang dada dan terus bersama-sama membantu semula UMNO.
“Jawatan majlis tertinggi dan jawatan yang lain akan diwujudkan yang difikirkan bersesuaian atau diberikan penyesuaian melihat kepada peranan yang akan dimain oleh kedua-dua calon presiden.” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pertamanya selepas menjadi Presiden UMNO di Menara Dato Onn di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Sementara itu, Zahid Hamidi memberitahu, kebangkitan UMNO 3.0 yang baharu akan dilihat selepas ini lantaran kekalahan pada 9 Mei lalu.
Katanya, langkah-langkah pemulihan yang dicadangkan beliau termasuk memberi ruang kepada ahli-ahli untuk mengkritik kepemimpinan parti mengikut peradaban UMNO antara intipati baru dalam kepimpinan kali ini.
“Saya harap dalam UMNO 3.0 kali ini kita akan bersama-sama dalam satu jemaah bangkit dan menjadi pembangkang yang profesional,” katanya.- UTUSAN ONLINE