Daripada keseluruhan 222 Ahli Parlimen, 98 daripanya adalah muka baharu.

Ketika ini Ahli-Ahli Parlimen telahpun mula tiba di Dewan Rakyat.
Majlis mengangkat sumpah ini berlangsung 69 hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan pada 9 Mei lalu.
Persidangan pertama Dewan Rakyat yang bermula pada pukul 10 pagi Isnin akan dimulakan dengan pemilihan Yang Dipertua (YDP) Dewan Rakyat sebelum majlis angkat sumpah Ahli Parlimen dijalankan.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini menamakan Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan.
Berdasarkan aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, semua 222 Ahli Parlimen bagi penggal ke-14 kemudiannya akan mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua dewan yang baru mengikut Perkara 59 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Selepas selesai upacara mengangkat sumpah, persidangan akan diteruskan dengan usul untuk menamakan dua Timbalan Yang Dipertua.-UTUSAN ONLINE