.... “Saya ikhlas jadi Speaker Dewan Rakyat” - Mohamad Ariff | AAKJ



Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof
KUALA LUMPUR 15 Julai - Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof bersedia memikul tugas dan tanggungjawab sebagai Speaker Dewan Rakyat bagi penggal baharu yang akan bermula sesinya esok.
Beliau berkata, pelantikan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam, diterima dengan rasa penuh tanggungjawab.
Sebelum pengumuman pelantikan dibuat, jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat menjadi tanda tanya dalam kalangan ahli Parlimen dan pemerhati politik.
“Saya merasakan pelantikan ini sebagai satu penghormatan yang mana, apabila diberi peluang dan kesempatan untuk menggalas satu tanggungjawab yang besar ini, saya terima secara ikhlas demi negara,” katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, dengan pengalaman yang ada, beliau berharap dalam melaksanakan tugas sebagai Speaker Dewan Rakyat yang sebelum ini, digalas oleh Tan Sri Pendikar Amin Mulia.
Katanya lagi, ramai yang ternanti-nantikan bermulanya penggal baharu Dewan Rakyat yang dipimpin oleh kerajaan baharu hari ini.
Justeru, beliau turut meletakkan harapan untuk sama-sama membantu mencorak perjalanan Dewan Rakyat sejajar dengan hasrat yang dicorakkan dalam pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.
Persidangan Mesyuarat Pertama Parlimen Ke-14 yang dijadual berlangsung selama 20 hari, mulai esok bermula dengan majlis angkat sumpah Ahli Parlimen termasuk pelantikan Speaker Dewan Rakyat dan timbalannya. - UTUSAN ONLINE



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top