.... Rombakan besar-besaran di Khazanah | AAKJ



KUALA LUMPUR 26 Julai - Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) bakal me­nyaksikan rombakan besar-besaran berikutan peletakan jawatan beramai-ramai kese­luruhan sembilan ahli Lembaga Pe­ngarah sayap pelaburan negara itu hari ini.
Azman dilantik ke jawatan tersebut sejak Jun 2004 selepas meninggalkan syarikat khidmat nasihat, BinaFikir Sdn. Bhd. yang diasaskan secara bersama pada 2002. Beliau dijangka bersara selepas kontraknya tamat 31 Mei 2019 dan difahamkan kini sedang melalui proses peralihan kepim­pinan.
Portfolio pelaburan Khazanah sangat meluas merangkumi sektor pendidikan, tenaga, kesihatan, pelancongan, infrastruktur dan pembinaan, kreatif, inovasi dan teknologi, agromakanan dan pengangkutan dan logistik.
Spekulasi pasaran bertiup kencang menjangkakan peletakan jawatan tersebut akan menyaksikan lebih ramai pucuk pimpinan syarikat milik kerajaan (GLC) mengikuti jejak langkah ahli lembaga pengarah Khazanah itu.
Khazanah memiliki 40.4 peratus kepentingan di dalam syarikat IHH, dan Axiata (37.17 peratus); Malaysia Airports (33.21 peratus), Tenaga Nasional Berhad (28.1 peratus); CIMB (27.4 peratus); Telekom Malaysia (26.2 peratus) dan Time (11.2 peratus).
Pemerhati industri tidak mahu memberi andaian sehingga pengganti mereka diumumkan untuk menguruskan Khazanah yang mempunyai aset boleh jual bernilai sebanyak RM157.2 bili­on dan nilai bersih diselaraskan RM115.6 bilion pada akhir 2017.
Apa yang ketara, seandainya pengganti pucuk pimpinan Khazanah lambat diumumkan, sama seperti di GLC di mana penerajunya telah meletak jawatan sejak sebulan lalu, boleh mencetuskan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur portfolio asing, yang merupakan pemilik utama saham entiti Khazanah yang disenaraikan.
Awal hari ini, Khazanah mengesahkan kesemua ahli lembaga, termasuk Pengarah Urusan Tan Sri Azman Mokhtar telah menawarkan peletakan jawatan mereka.
Selain Azman, ahli lembaga pengarah lain Khazanah ialah Datuk Seri Nazir Razak; Tan Sri Md. Nor Md Yusof; Tan Sri Mohamed Azman Yahya; Datuk Mohammed Azlan Hashim; Tan Sri Andrew Sheng Len Tao; Tan Sri Raja Arshad Raja Uda; Datuk Nirmala Menon, dan Yeo Kar Peng.
“Lembaga Pengarah cukup berbangga dapat memberi perkhidmatan dan merasakan bersesuaian untuk menyerahkan kepada kerajaan baharu hak untuk membentuk lembaga pengarah yang baharu.
“Kami akan mengeluarkan kenyataan lanjut apabila kami memperoleh butiran mengenai pembentukan semula ahli lembaga,” kata syarikat pelaburan strategik itu dalam kenyataan akhbar hari ini.
Terdahulu, akhbar melaporkan Azman dan lapan lagi anggota telah mengemukakan surat peletakan jawatan mereka kepada kerajaan.
Menurut laporan tersebut, Azman dan pengarah Khazanah mengadakan mesyuarat khas lembaga pengarah pada lewat petang Selasa lalu, dan memutuskan untuk menandatangani surat peletakan jawatan tanpa tarikh, yang kemudiannya dise­rahkan kepada pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Mesyuarat tersebut, dipenge­rusi oleh pengerusi jawatankuasa eksekutif Khazanah, Tan Sri Md. Nor Md. Yusof, mencapai keputusan sebulat suara bahawa kerajaan Pakatan Harapan hendaklah diberi peluang untuk menentukan struktur kepimpinan agensi pelaburan negara itu.
Peletakan jawatan beramai-ramai itu adalah susulan kritikan terbuka Dr. Mahathir terhadap Khazanah yang disifatkannya telah menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya.


© Utusan Melayu (M) Bhd 




Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top