Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, jumlah tersebut termasuk ahli daripada 700 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu yang menyokong Melayu.
“Selepas perhimpunan ini, kita mahukan tindakan sewajarnya daripada kerajaan yang dilihat mengusik isu-isu berkenaan Melayu.
“Kerajaan juga mula mengubah landskap negara dengan menyamakan orang Melayu dengan kaum lain. Pemimpin-pemimpin Melayu dalam kerajaan juga dilihat mahu popular dengan pujian kaum lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.
Himpunan Kebangkitan Ummah merupakan anjuran Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang bertemakan ‘Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14): Islam Melayu terancam’ akan bermula pukul 9 pagi sehingga 1 petang.
Perhimpunan itu bagi menyuarakan ketidakpuasan hati orang Melayu dengan beberapa tindakan awal kerajaan Pakatan Harapan sejak mengambil tampuk pemerintahan negara.
Sehubungan itu, Syed Hassan berharap, orang Melayu akan hadir menyokong perhimpunan ini dengan apa cara sekalipun.
Tambahnya, sepanjang perhimpunan peserta dinasihatkan menjaga tatatertib dan disiplin.
“Jangan rosakkan nama penganjur dan berhimpunlah dengan cara berhemah,” katanya. - UTUSAN ONLINE