Ramasamy berkata, ini kerana beliau sedang menyelesaikan isu yang mendakwanya terlibat dengan gerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Tambahnya, beliau akan menghadiri perjumpaan yang diatur oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Muhajid Yusof pada minggu depan bersama Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.
“Nasihat saya (kepada penyokong) supaya bersabar. Adakah saya pengganas? Bagaimana pula dengan Dr. Asri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Difahamkan, sejak semalam tersebar pesanan menerusi aplikasi WhatApps meminta penyokong Ramasamy berkumpul di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) untuk membela Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Perai itu yang dituduh terlibat dengan LTTE.
Pada masa sama, satu perhimpunan juga akan dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Simpang Enam yang terletak kira-kira 500 meter daripada Komtar.
Perhimpunan berkenaan diadakan untuk membantah Ramasamy yang didakwa terlibat dengan LTTE yang telah ditakrifkan sebagai kumpulan pengganas oleh Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu (PBB). - UTUSAN ONLINE