Pengerusinya, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, status sebagai kereta nasional penting demi menjaga sentimen rakyat terhadap Proton serta keyakinan syarikat-syarikat pembekal dan pengedar yang bersangkut-paut dengan jenama kereta tersebut.
Malah katanya, rakan strategik Proton, Zhejiang Geely Holding Group (Geely) dari China, akan menjemput Dr. Mahathir untuk mengunjungi fasiliti syarikat itu apabila Perdana Menteri dijadualkan melawat negara tersebut bulan depan bagi mendedahkan kemajuan teknologi yang ada.
“Kita perlu memastikan terdapat keyakinan dalam pasaran bahawa Proton adalah kereta nasional.
“Kami juga mahu keyakinan ini ada dalam kalangan bank, vendor dan pengedar,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, di sini hari ini.
Semasa mengadakan lawatan kerja ke Jepun bulan lalu, Dr. Mahathir memberi bayangan akan melancarkan satu lagi projek kereta nasional bagi menggantikan Proton yang pada pandangan beliau tidak lagi boleh dianggap sebagai kereta nasional kerana sebahagian besar ekuitinya dimiliki oleh syarikat asing. - UTUSAN ONLINE