.... #PRKSgKandis: PH mesti dikalahkan – Nasrudin | AAKJ



Pas tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis untuk memastikan berlaku perlawan satu lawan satu bagi mengalahkan Pakatan Harapan.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, parti itu dari awal telah memutuskan untuk tidak bertanding supaya undi pembangkang tidak berpecah sekaligus memastikan Pakatan Harapan tewas.
“PH mesti dikalahkan dalam PRK Sungai Kandis. Ia menjadi satu isyarat kepada kerajaan PH bahawa rakyat tidak mahu terus dipermain dengan kegagalan PH menunaikan janji pilihan raya seperti menghapuskan tol, menurunkan harga minyak, menghapuskan hutang peneroka Felda dan banyak lagi yang boleh disenaraikan kemudian.
“Kerajaan PH dilihat sangat tidak seimbang. Rasis dan terlalu membuka jalan kepada mempersendakan Islam. Suara-suara yang mengundang keresahan ummat Islam makin marak bebas dan tidak diambil tindakan yang wajar oleh pihak kerajaan PH,” kata Nasrudin dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut Nasrudin antara isu yang mempersendakan Islam termasuk gesaan supaya Maahad Tahfiz ditutup, terlalu memberi muka kepada LGBT, pemikiran anti hadis, posisi penting dalam sektor kehakiman dan undang-undang tidak diberikan kepada orang Islam.
Selain itu kata Nasrudin, terdapat individu yang didakwa menyokong gerakan pengganas jadi pemimpin kerajaan dan dominasi DAP yang sangat skeptikal terhadap perjuangan Islam dalam PH.
“Justeru itu, beraksi di pentas demokrasi dan menghormati hak memilih, maka pengundi diseru supaya menolak PH dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis. Anda mempunyai 1001 sebab untuk menewaskan PH dalam PRK Sungai Kandis.
“Kekalahan PH dalam PRK Sg Kandis adalah untuk menyentak lamunan mereka yang masih asyik dengan kuasa yang dimiliki agar tunaikan janji pilihanraya dan tidak lagi membohongi rakyat,” kata Nasrudin.
PRK Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni (PKR) dan K. Murthy (Bebas).
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian penyandang­nya, Mat Shuhami Shafie yang mening­gal dunia akibat kanser limfoma tahap empat, 2 Julai lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei lalu, PKR memenangi kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 12,480 undi menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari, Mohd. Yusof Abdullah (Pas) dan Hanafiah Husin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM).-UTUSAN ONLINE

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top