Meskipun PRK ini tidak memberi sebarang perubahan kepada struktur politik, biar parti mana sekalipun yang menang, ia tetap menjadi penanda aras untuk menilai sokongan rakyat terutamanya kepada PKR dan UMNO.
Namun, di sebalik penanda aras tersebut, tidak boleh tidak, PRK Sungai Kandis juga dilihat sebagai medan pertunjukan kuasa dalaman PKR apatah lagi parti itu sendiri kini dalam persiapan menjayakan pemilihan pucuk pimpinan. Maka, tidak pelik sebaik sahaja PKR mengumumkan Mohd. Zawawi Ahmad Mughni sebagai calon pada Khamis lalu, pelbagai pihak terus melabelkan beliau sebagai 'calon Azizah' kerana PKR Selangor khabarnya menghantar nama lain.
Nama yang dipilih PKR Selangor difahamkan adalah penyokong kuat Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tetapi ditolak dan digantikan dengan Mohd. Zawawi, walaupun pemimpin tersebut memiliki meritnya tersendiri.
Justeru itu, pada hari penamaan calon semalam, banyak mata tertumpu kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamed Azmin. Gerak tubuh kedua-dua pemimpin ini diteliti serta dikaji dan terlihat ada kejanggalan.
Mohamed Azmin walaupun ha­dir, kelihatan tidak mesra dengan Wan Azizah. Dalam bahasa mudahnya seorang ke hulu, seorang lagi ke hilir. Timbalan Presiden PKR itu sebaliknya dilihat banyak berkomunikasi dengan Menteri Besar Sela­ngor, Amirudin Shari.
Malah ketika Wan Azizah dan beberapa pemimpin kanan PKR meraikan Mohd. Zawawi di atas pentas, Mohamed Azmin sudah tidak kelihatan. Beliau memilih meninggalkan majlis sebelum ia berakhir.
Sehubungan itu, PRK Sungai Kandis bukan sekadar perkiraan pertembungan PKR dan BN, bukan semata-mata persoalan untuk mengukur sokongan rakyat, bukan setakat menilai arah politik orang Melayu tetapi pe­re­butan dalaman PKR itu sendiri.
Ia pertembungan antara kem Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Wan Azizah dengan pasukan Mohamed Azmin dan jika PKR menang bergaya, Anwar dan isteri boleh membalas 'kekalahan' mereka dalam soal pemilihan Menteri Besar baru-baru ini.