Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hanya calon yang berpotensi untuk menang akan diletakkan sebagai calon mewakili pembangkang dalam PRK itu nanti.
Menurutnya, ia merupakan strategi parti bagi membolehkan hanya pertandingan satu lawan satu pada PRK tersebut.
“UMNO dan BN belum memuktamadkan calon yang akan bertanding di Sungai Kandis, namun kita telah memutuskan bahawa kita akan meletak calon dalam PRK itu.
“Kita akan mengadakan perbincangan dengan parti pembangkang lain iaitu Pas untuk menentukan hanya seorang calon dipilih nanti, perbincangan itu akan kita lakukan dalam masa terdekat,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Kesyukuran Meraikan 93 Bakal Jemaah Haji di Kawasan Parlimen Bagan Datuk di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Ke-tua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Khairudin Tarmizi.
Sementara itu, mengulas mengenai cadangan Timbalan Presi­den UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya logo UMNO digunakan pada PRK tersebut, Ahmad Zahid berkata, pihaknya belum meneliti secara rasmi cadangan tersebut.
Menurutnya, beliau akan membawa perkara itu untuk dibincangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Politik UMNO untuk melihat perincian terhadap aspek keberuntu-ngan jika mengunakan logo selain BN.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, meskipun akaun UMNO telah dibekukan, pihaknya yakin dan bersemangat bahawa masih ramai lagi pihak yang bersimpati dengan UMNO.
“Mungkin biarpun sedikit sumbangan yang akan diberikan mereka, tapi kami amat yakin komitmen dalam kalangan orang-orang UMNO masih menebal. Kita juga tidak akan berbelanja sebagaimana PRK terdahulu, pegangan kita low cost, high impact,” katanya.