.... Polis panggil Najib lagi | AAKJ






BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah dipanggil sekali lagi oleh polis untuk memberi keterangan berkaitan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mengesahkan perkara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, Najib dipanggil memberi keterangan beberapa hari lalu.
Katanya, keterangan Najib itu bagi melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan termasuk rampasan barangan dan wang tunai baru-baru ini.
"Saya sahkan beliau (Najib) sudah dipanggil sekali lagi memberi keterangan kepada polis untuk kes 1MDB.
"Siasatan lanjut juga sedang giat dijalankan terutama membabitkan barangan dan wang tunai yang dirampas selain yakin kertas siasatan dapar diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam tempoh terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sarawak di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching, hari ini.
Jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak kini dipangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim yang menggantikan Datuk Seri Amer Awal yang bersara wajib.

NOOR Rashid menyaksikan Amer (kiri) menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Mohd Dzuraidi (kanan). FOTO Jannah Kho
Dalam perkembangan berkaitan, polis masih giat mengesan ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Menurutnya, risikan dan pertukaran maklumat antara negara yang dipercayai menjadi lokasi Jho Low terus dipertingkatkan.
"Walaupun mengambil masa, tapi saya beri jaminan beliau (Jho Low) tetap akan dibawa balik ke Malaysia untuk siasatan lanjut," katanya.
Jho Low dikatakan sudah melarikan diri dari Macau ke China menggunakan pasport lain.


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top