Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sebaliknya menyatakan parti itu lebih memberi tumpuan kepada pengukuhan jentera parti termasuklah melaksanakan strategi kempen yang berkesan sebagai syarat utama kepada kemenangan sesebuah kerusi yang dipertandingkan dalam sesebuah pilihan raya.
"Kita mengutamakan gerak jentera menerusi pelbagai aktiviti kempen yang menyantuni para pengundi. PRK (DUN Sungai Kandis) penting dan kita telah mengemukakan beberapa pandangan kepada pucuk pimpinan parti dan berharap ianya akan diambil kira.
"Bagaimanapun, faktor untuk mengenengahkan calon tempatan akan tetap dinilai. Sementara itu tumpuan kita yang lebih penting ialah bagaimana untuk menggerakkan jentera yang lebih mantap dan bersiap-siaga," katanya yang juga Setiausaha PKR Selangor.
Beliau berkata kepada pemberita kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan insentif haji muassasah peringkat DUN Sungai Kandis di Masjid An–Naim Kampung Batu 7, Jalan Kebun di sini malam tadi.
Kerusi DUN Sungai Kandis ketika ini kosong selepas kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.
Pada PRU-14, Mat Shuhaimi, 49, memenangi kerusi DUN Sungai Kandis dengan majoriti 12,480 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu Datuk Kamaruzzaman Johari daripada BN, Mohd. Yusof Abdullah (Pas) dan Hanafiah Husin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM). - UTUSAN ONLINE