Menariknya kerana hampir semua kaum di negara ini mempunyai parti politik masing-masing. Uniknya pula dalam perebutan kuasa itu, soal keharmonian dan perpa­duan tetap terpelihara.
Lebih menarik apabila Barisan Nasional (BN) yang dianggotai 13 parti komponen pelbagai kaum ditumbangkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu selepas menerajui kerajaan Pusat sejak lebih enam dekad lalu.
Parti itu kalah kepada Pakatan Harapan (PH) yang juga gabungan beberapa parti mewakili pelbagai kaum. salah satu komponen PH iaitu DAP, parti ultra kaum Cina, jika tidak menyertai pakatan itu, sudah pasti mereka juga tidak akan dapat menewaskan BN.
Kemenangan PH juga me­nyaksikan para pemimpinnya memomokkan slogan Malaysia baharu termasuk dalam politik, kononnya rakyat menolak parti perkauman dan ekstremis agama yang dilabelkan kepada UMNO.
Akibatnya kata mereka, UMNO ditolak dan dihukum dalam PRU-14. Sedangkan umum mengetahui kekalahan UMNO adalah akibat daripada beban isu 1MDB dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh pembangkang ketika itu untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap BN.
Ini ditambah buruk dengan sikap sesetengah pengundi yang tidak berminat dengan report card, rekod perkhidmatan dan pencapaian kerajaan, sebaliknya lebih suka mendengar ceramah berapi-rapi, menghina individu, dakwaan membabi-buta dan janji-janji manis bersifat populis.
Cakap memang senang tetapi untuk melaksanakan bukanlah mudah. Itulah yang berlaku kepada PH ketika ini apabila janji manifesto 100 hari mereka belum dilaksanakan sepenuhnya. Pelbagai alasan diberi kononnya kerajaan PH terpaksa membaiki kerosakan teruk yang ditinggalkan oleh BN terlebih dahulu, kekangan kewangan, undang-undang dan manifesto bukan kitab suci.
Agak malang bagi mereka ketika desakan terhadap pelaksanaan janji 100 hari semakin meningkat, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Sungai Kandis pula terpaksa diadakan pada 4 Ogos ini kerana kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser 2 Julai lalu.
Namun agak bernasib baik kerana Sungai Kandis boleh dikatakan ‘kubu kuat PKR’ selepas Allahyarham Mat Shuhaimi berjaya memenangi kerusi itu sejak tiga PRU lalu malah dengan undi yang begitu selesa.
Sebagai calon underdog, Lokman Noor Adam yang mewakili BN tampil dengan kebimbangan terhadap isu-su Melayu, agama Islam, raja-raja Melayu selain referendum rakyat yang menuntut janji PKR.
Asas beliau itu ada logiknya ekoran tindakan kerajaan PH yang disifatkan sebagai luar daripada kebiasaan terutama dalam pelantikan bukan Islam bagi jawatan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara.
Boleh dikatakan dalam setiap ceramah calon PKR, pemimpin kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Amirudin Shari juga akan membangkitkan kempen BN itu yang disifatkannya keterlaluan, rasis dan bertentangan dengan slogan Malaysia baharu.
Agak pelik juga apabila isu yang dibawa oleh Lokman Noor menjadi kebimbangan pemimpin PH kerana mereka sendiri yang menyebut selama ini, UMNO ditolak dan dihukum dalam PRU-14 kerana memainkan isu-isu sempit perkauman dan agama.
Jadi biarkan UMNO dengan perjuangannya itu dan lebih baik PKR memberi tumpuan terhadap janji-janji manifesto PRU-14 demi kebajikan rakyat.