Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, buat julung kalinya, kaedah permohonan dalam talian diwujudkan bagi memudahkan calon memohon permit.
“Sebelum ini, dalam pilihan raya terdahulu, calon yang ingin membuat ceramah perlu datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) untuk mengisi borang. Namun, bermula hari ini kaedah dalam talian diperkenalkan bagi memudahkan proses.
“Bagaimanapun, syarat utama permohonan dalam talian adalah dilakukan oleh calon atau ejen calon itu sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.
Dalam pada itu, tambah Baharudin, bagi PRK DUN Sungai Kandis ini melibatkan dua kawasan daerah polis iaitu IPD Shah Alam dan IPD Klang Selatan.
“Oleh demikian, calon yang ingin membuat ceramah perlu memohon permit mengikut IPD terbabit. Bagi permit di Shah Alam boleh dihantar menerusi emel kpdsalam@rmp.gov.my, manakala bagi kawasan Klang Selatan boleh dirujuk kepada IPD Klang Selatan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE