Sebab itu dalam banyak kempennya, beliau banyak me­nyentuh tentang pembangunan insan dan pentingnya soal kerohanian dalam membawa perubahan. Itu juga janji beliau bagi mengukuhkan penghayatan Islam dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Namun perju­angan itu bukan mudah kerana sebagai se­bahagian daripada gabu­ngan dalam PH, PKR juga perlu menghormati suara bukan Islam terutama DAP yang agak vokal berhubung isu-isu berkaitan. Apatah lagi dalam PKR juga, bukan semua pe­mimpinnya beragama Islam.
Mampukah Mohd. Zawawi membawa misi tersebut dan melawan arus yang kuat dalam PH kerana dasar mesra Islam tidak begitu jelas dalam pakatan tersebut.
Sebaik sahaja PH membentuk kerajaan Pusat yang baharu, suara-suara mendesak agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan institusi tahfiz dimansuhkan semakin lantang.
Pelantikan bukan Islam bagi jawatan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara juga menimbulkan kebimbangan orang Melayu terhadap harapan untuk menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan.
Dengan 70 peratus pengundinya adalah kaum Melayu, maka PRK DUN Sungai Kandis adalah landasan untuk orang Islam menyatakan pendirian mereka terhadap polisi kerajaan PH sama ada menguntungkan umat Islam atau sebaliknya.
Mereka perlu menyatakan suara ummah itu kerana ia akan menjadi isyarat kepada semua pihak tentang apa yang berlaku dalam tempoh dua bulan ini diterima oleh umat Islam atau tidak. Ini penting kerana Islam adalah agama Persekutuan dan tidak sepatutnya dipinggirkan begitu sahaja oleh kerajaan yang ada hari ini.
Jika dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu, undi Melayu mungkin dilihat terbahagi kepada dua kelompok iaitu satu kepada calon Barisan Nasional (BN) dan satu lagi kepada calon Pas. Jika digabungkan ke­dua-duanya, PKR masih memenangi ke­rusi tersebut.
Kerjasama BN dan Pas dalam PRK itu juga belum begitu jelas tetapi mesej daripada beberapa pemimpin Pas kini terarah kepada perlunya PH dikalahkan dalam PRK sungai Kandis.
Dalam Himpunan Kebangkitan Ummah di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, semalam, Ketua Pe­nerangan Pas, Nasrudin Hassan dengan jelas meminta penyokong Pas untuk bersama dengan calon BN dalam me­numbangkan PKR.
“Kalau kita berkecuali pasti PKR menang,” katanya dalam perhimpunan itu.
Sementara itu calon BN bagi DUN sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam yang turut menghadiri perhimpunan tersebut berkata, sudah tiba masanya rakyat sedar tentang apa yang berlaku di negara ini sejak dua bulan lalu.
Dakwanya, pelantikan Ke­tua Hakim Negara dan juga Peguam Negara bukan Islam hanya meletakkan institusi raja-raja yang memayungi Islam dan orang Melayu dalam keadaan yang rapuh.
“Hari ini PH meletakkan payung agama Islam dan orang Melayu di atas tangan mereka, mana letaknya keselamatan orang Islam,” ujarnya.
Sebab itulah katanya, pe­ngundi Melayu sama ada ahli UMNO atau Pas perlu bersatu bagi membuktikan kekuatan dan perpaduan umat Islam dalam PRK 4 Ogos ini.