.... 'Pengikut Syiah tetap ada hak sebagai warganegara' | AAKJ



Di Malaysia, mazhab Syiah tidak diiktiraf sebagai sebahagian daripada Islam dan dianggap sesat berdasarkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1996.

Sehingga kini terdapat laporan tindakan polis dan pihak berkuasa agama yang menyerbu acara-acara pengikutnya yang kebanyakannya dibuat secara tertutup.
Bagi menteri agama baru Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, pengikut mazhab itu tetap mempunyai hak sebagai warganegara selagi tidak melakukan jenayah.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pengikut Syiah akan mendapat pembelaan yang selaras dengan undang-undang oleh kerajaan HARAPAN.
Menegaskan Islam sebagai agama rasmi dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai aliran utama, Mujahid berkata perlembagaan juga menyebut tentang soal kebebasan beragama.
"Setiap warga berhak memilih apa saja agama (atau aliran) yang dirasakan betul. Ia terkandung dalam perlembagaan, setiap warga bebas untuk beragama.
"Agama rasmi ialah Islam dalam perlembagaan dan ia bebas untuk dipraktikkan. Dalam konteks ini, saya tak boleh cabuli klausa mengenai bebas agama (dalam perlembagaan)," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Pandangan majoriti agamawan di Malaysia selari dengan keputusan majlis fatwa iaitu Syiah bukan sebahagian daripada Islam.
Bagaimanapun sesetengahnya seperti Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor (gambar) konsisten dengan pandangan yang sebaliknya.
Wan Salim yang membangkitkan soal itu ketika bertemu Majlis Penasihat Kerajaan bulan lalu berkata Syiah tidak seharusnya dihukum kafir.
"Cuma dalam Syiah ini ada seksyen-seksyen tertentu yang tidak diiktiraf sebagai Syiah, macam kita orang Sunni ada ajaran-ajaran sesat," katanya.
Sepanjang wawancara, Mujahid yang juga naib presiden AMANAH menekankan kepentingan berdialog dengan golongan minoriti di negara ini.
Mujahid berkata lagi, di luar konteks mazhab Syafie sebagai mazhab utama negara, persoalan sama ada Syiah bercanggah dengan Islam atau tidak adalah debat intelektual.
"Sebagai rakyat Malaysia, mereka tetap mendapat peruntukan kebebasan.
"Kecuali jika mereka melakukan jenayah, mahu gugat kedudukan negara dalam konteks agama. Itu akan diambil tindakan," katanya lagi.


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top