.... Pemuda DAP kritik Dr Mahathir | AAKJ



KUALA LUMPUR: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad kerana enggan mengikut senarai calon menteri yang dicadangkan parti itu.
Ketuanya, Wong Kah Woh, berkata tindakan Perdana Menteri itu disifatkan sebagai tidak menghormati cadangan pimpinan parti komponen Pakatan Harapan (PH).
"Dalam senarai Kabinet, beberapa calon yang dicadangkan oleh DAP termasuk Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming digugurkan. DAP hanya memperoleh enam jawatan menteri walaupun menang 42 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
"Tindakan Perdana Menteri amat tidak patut kerana pengaturan senarai Kabinet tidak mengikut bilangan kerusi dimenangi sesebuah parti, malah keputusan sedemikian juga tidak menghormati cadangan pimpinan parti seperjuangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, ketika berkempen dalam PRU-14, berjanji Kor Ming dan Chieng Jen akan dilantik menjadi menteri jika PH berjaya menawan Putrajaya.
Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak menyenaraikan Kor Ming dalam Kabinet baharunya, manakala Chieng Jen dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Kah Woh berkata, pandangan DAPSY terhadap senarai Kabinet itu bukan berniat untuk merebut jawatan, sebaliknya bagi menghormati hasrat rakyat serta mempertahankan maruah parti bagi mengelak sesebuah parti terlalu berkuasa dalam PH.
Katanya, DAPSY tidak menafikan pandangan Perdana Menteri dalam melantik menteri atau mengkritik kemampuan mereka kerana tiada pihak lain yang lebih memahami dan mempercayai kelayakan calon yang dicadangkan melainkan parti itu sendiri.
"Walaupun PH memberi kuasa muktamad kepada Perdana Menteri untuk menentukan senarai Kabinet, Perdana Menteri haruslah mendengar suara dan pandangan rakan seperjuangan dalam pelantikan itu dan bukannya bertindak dengan sebaliknya.
"Kini cadangan yang dikemukakan DAP diketepikan. Jika Setiausaha Agung DAP juga ditolak pelantikannya atas mana-mana sebab pada satu hari nanti, adakah DAP tetap akan dipaksa menerima keputusan sebegini?" soalnya.
Beliau berkata, Perdana Menteri perlu banyak mendengar suara serta hasrat parti seperjuangan kerana Kabinet baharu akan menentukan hala tuju negara.
"Pelantikan berdasarkan kelayakan dan pengalaman adalah penting dalam mengukuhkan asas dan meningkatkan kualiti pentadbiran kerajaan baharu.
"Ia secara keseluruhannya turut berkemampuan untuk menggabungkan segala tenaga dan minda rakyat demi membina sebuah Malaysia yang baru," katanya.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top