Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, saranan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz supaya ahli Pas mengundi BN mempunyai asas kerana secara lojiknya pembangkang tidak akan memberi sokongan kepada kerajaan dalam pilihan raya.
Bagaimanapun, beliau berkata, Pas tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi kepada ahli mahupun jentera sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan mereka untuk membuat pilihan.
“Keputusan rasmi kita adalah kita tidak bertanding, adapun soal ahli Pas perlu sokong sesiapa tidak ada arahan dan tidak ada keputusan rasmi.
“Cuma dalam konteks kita sebagai pembangkang tentulah kita lebih terdorong sokong pembangkang, secara lojiknya begitu sebab kerajaan sudah ada.
“Kita perlu ada suara pembangkang yang kuat di mana-mana pun, termasuklah di Selangor, jadi dari asas itulah Nik Abduh sarankan ahli Pas sokong calon BN, bukan kerana kita setuju tetapi bagi menguatkan suara pembangkang,” katanya selepas Majlis Muafakat ‘Local Agenda 21’ Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon Panchor di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar diminta mengulas kenyataan Nik Mohamad Abduh dalam laman facebook yang mengatakan bahawa Pas mendorong ahli mengundi calon BN yang diwakili UMNO dalam PRK Sungai Kandis.
Menurut Mohd Amar, Pas mengambil keputusan berundur selepas UMNO menolak cadangan parti itu supaya memberi peluang kepada calon Pas sahaja untuk menentang wakil Pakatan Harapan (PH). - UTUSAN ONLINE