Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jawatan tersebut memikul tanggungjawab yang cukup berat terutama apabila situasi parti yang masih mencari formula terbaik dalam mendapatkan kembali kepercayaan dan keyakinan rakyat.

“Saya berharap pasukan baru yang dibentuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ini dapat memainkan peranan penting termasuk memberi komitmen yang tinggi.
“Kepemimpinan baharu ini bertanggungjawab dalam menggerakkan agenda dan pembaharuan parti sama ada dari segi struktur, budaya dan pendekatan dalam memperjuangkan keperluan rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menerusi kenyataan akhbar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dikeluarkan di sini hari ini, barisan Ahli Majlis Tertinggi (MT) lantikan bagi penggal 2018-2021 terdiri daripada 11 pemimpin termasuk Datuk Seri Anifah Aman, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib, Datuk Johan Abdul Aziz, Datuk Azizah Mohd. Dun, Datuk Abdul Rahman Mohamad, Datuk Seri Hajiji Noor dan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Di samping itu, Ahmad Zahid menerusi kenyataan yang disiarkan portal UMNO Online turut mengumumkan senarai pengerusi, timbalan pengerusi dan setiausaha badan perhubungan di semua negeri. - UTUSAN ONLINE