Datuk Abd Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) berkata, meskipun kerjasama mungkin tidak dapat dibuat sepanjang masa namun yang penting kedua-dua pihak dapat berperanan untuk memajukan negeri ini.
Dalam masa sama, katanya, Kerajaan Pas Kelantan juga wajar menimbangkan untuk memberi kemudahan seperti ruang pejabat dalam bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Ketua Pembangkang supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih sempurna.
“Saya yakin Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) akan berpakat dengan baik dengan Ketua Pembangkang yang baharu (Datuk Md Alwi Che Ahmad).
“Saya sangat setuju dengan cadangan ADUN Galas supaya satu ruang selesa diberikan kepada Ketua Pembangkag kerana ini juga adalah amalan di peringkat Parlimen.
“Marilah kita bekerja dengan semangat baharu, kita bekerjasama kerana kita (hakikatnya) sama-sama ‘pembangkang’, musuh kepada musuh saya adalah kawan saya,” katanya semasa membahas titah Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra pada sesi petang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Abd Aziz dipercayai merujuk kepada kedudukan BN Kelantan sebagai pembangkang di negeri yang diperintah Pas namun pada masa sama kedua-duanya bukan parti yang sehaluan dengan Kerajaan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan.
Datuk Md. Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) ketika mengulas perkara sama pula berkata, beliau pada awal diberi amanah sebagai Ketua Pembangkang agak keliru dengan peranan yang harus dimainkan dalam ekosistem politik yang baharu.
“Saya tidak tahu kaedah mana yang harus dipakai, yang pastinya saya berazam untuk berkhidmat kepada rakyat dan tidak akan anggap kerajaan sebagai musuh, tidak akan ada kebencian antara kita kerana kita semua adalah dari agama, bangsa dan negeri yang sama malah beramal dengan kitab suci yang serupa.
“Malah kita mempunyai hala tuju yang sama dan mungkin hanya kaedah sahaja berbeza, saya memohon jika ada sebarang kesilapan daripada kami dalam dewan ini kerajaan akan menerimanya dengan baik,” katanya.
Terdahulu, Mohd. Syahbuddin Hashim (BN-Galas) membangkitkan keperluan memberikan kemudahan sepatutnya kepada Ketua Pembangkang.
“Saya mohon kerajaan mengiktiraf kedudukan pembangkang dalam dewan ini yang juga berhak mendapat kemudahan, saya mohon Ketua Pembangkang diberi kemudahan bertaraf Exco,”katanya. - UTUSAN ONLINE