Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, dalam hal ini Pakatan Harapan harus berasa bersalah dan malu kerana kegagalan tersebut secara langsung membebankan rakyat khusus golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan golongan isi rumah berpendapatan pertengahan (M40).
“Bermula dengan manipulasi hutang RM1 trilion, tidak mengurangkan kadar tol dan harga petrol, menaikkan tarif elektrik bukan domestik, melakukan pusingan U projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan terbaharu memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 10 dan enam peratus.
“Indeks Harga Pengguna (IHP) pada bulan Jun 2018 telah menunjukkan peningkatan 0.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Ini bermakna kenaikan tarif elektrik pada bulan Julai dan disusuli dengan SST pada bulan September akan terus melonjakkan bebanan hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE