Menurut Reuters yang mene­rima dokumen tersebut pada Rabu lalu, saman itu difailkan secara berasingan pada 30 Jun lalu dan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan dua Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 16 Julai ini.
Laporan agensi berita itu menyebut, peguam, Badrul Abdullah yang mengendalikan kes saman itu mendakwa, ketiga-tiga individu terbabit yang dinamakan sebagai defendan telah bersikap prejudis terhadap Ahli Parlimen Pekan itu sepanjang siasatan dijalankan dan boleh dilihat melalui kenyataan yang dikeluarkan kesemua defendan.
“Kami antaranya memohon satu deklarasi bahawa terdapat konflik berkepentingan dalam kalangan defendan-defendan. Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah,” kata peguam terbabit.
Pada Mei lalu, Mohd. Shukri mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2015 telah disekat manakala Amar Singh telah mengetuai pasukan polis dan merampas pelbagai barangan mewah dari beberapa premis yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Najib yang bernilai hampir kira-kira RM1.1 bilion.
Tommy pada Rabu lalu telah mendakwa Najib dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna jawatan untuk kepentingan peribadi melibatkan RM42 juta dana berkaitan syarikat SRC International Sdn. Bhd.
Bekas Perdana Menteri itu  dibebaskan dengan jaminan RM1 juta berserta dua penjamin dan kes akan disebut semula pada 8 Ogos ini.
Najib bersama keluarganya kini menjadi perhatian rakyat susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) serta ekoran keputusan kerajaan Pakatan Harapan membuka kembali siasatan 1MDB.
Malah, Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor telah disekat daripada ke luar negara, diminta memberi keterangan kepada pihak berkuasa selain beberapa akaun bank yang mempunyai kaitan dengan bekas Presiden UMNO itu dibekukan kerana disyaki menerima wang daripada dana 1MDB.
Pada Rabu lalu juga, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan perintah larangan sementara oleh Najib terhadap media bagi menerbitkan komen berkenaan merit berkaitan pertuduhan yang dihadapi olehnya.
Menurut peguam mewakili bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, permohonan tersebut dibuat kerana Najib telah melalui “perbicaraan media” sejak sebelum kesnya didengar di mahkamah.
“Jika hanya media (melaporkan), mungkin ia satu hal yang lain. Namun apabila datang (perbicaraan) daripada menteri sendiri, mempertikaikan anak guam saya dan mengaitkan beliau, itu tidak boleh,” katanya.
Peguam itu merasakan perbicaraan yang adil tidak akan berlaku jika kepentingan perintah larangan tersebut tidak diberi perhatian.