“Seperti mana yang diketahui umum saya telah didakwa secara rasmi dan ia sesuatu yang saya telah jangkakan kerana itulah kehendak kerajaan baru.
“Dan kalau inilah harga yang saya terpaksa bayar setelah 42 tahun saya berkhidmat untuk rakyat dan negara maka saya redha,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas beliau dibebaskan dengan ikat jamin, sebentar tadi.
Ahli Parlimen Pekan, Pahang itu turut berharap semoga proses keadilan dijalankan secara adil mengikut lunas undang-undang.
“Saya yakin atas ketidaksalahan saya dan ini adalah peluang terbaik saya untuk membersihkan nama secara tuntas setelah ditohmah dan dituduh dengan begitu berat,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE