.... Najib dedah akaun peribadi terima gaji turut dibekukan | AAKJ



11 JULAI: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mendedahkan bahawa  akaun peribadinya turut dibekukan minggu lalu.
Menurut bekas perdana menteri itu, akaun bank itu tidak mempunyai sebarang transaksi lain kerana ia digunakan untuk menerima gajinya sebagai Ahli Parlimen dan pencen sebagai Menteri Besar Pahang selepas berkhidmat untuk kerajaan negeri dan Persekutuan.
Menerusi catatan di Facebook beliau, Najib berkata, ramai yang tahu, akaun bank anak-anak dan cucunya telah dibekukan tanpa sebarang notis selepas bayaran ikat jamin pertama dibuat pada Rabu lalu.
Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, ramai yang tidak tahu akaun peribadinya dibekukan minggu lalu.
Bagaimanapun, beliau difahamkan akaun anak-anaknya sudah dilepaskan dari pembekuan sekaligus menunjukkan tindakan pembekuan itu dibuat tanpa sebarang asas.
Namun katanya, akaun peribadi beliau tetap dibekukan walaupun tidak ada kena mengena dengan politik serta tidak ada kaitan dengan siasatan yang dijalankan pihak berkuasa.
“Saya hanya menyedari akaun ini dibekukan apabila cek peribadi saya bagi pembayaran perubatan anak saya tidak diterima.
Perbuatan agensi terbabit dan masa diambil untuk membekukan akaun saya ini adalah tidak wajar. Saya kecewa dengan tindakan ini, waktu ia dilakukan, yang saya anggap satu tindakan dakronian atau menindas kerajaan hari ini,” tegas Najib lagi.
Beliau mempersoal kenapa kebebasan peribadinya dinafikan setelah mahkamah membenarkan ikat jamin terhadapnya sementara menunggu perbicaraan.
“Ada yang membuat spekulasi bahawa waktu ia dilakukan bagi pembekuan akaun ini, adalah bagi menafikan atau menghalang usaha saya mendapatkan wang membayar ikat jamin dan jika dilihat secara keseluruhannya, ia sekaligus menggambarkan suatu niat buruk mahu dilakukan terhadap saya.
“Ini semua berlaku di sebalik kerjasama penuh yang sudah saya berikan kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.
“Pihak berkuasa perlu tahu saya juga rakyat biasa. Sebagai ketua keluarga, saya juga mempunyai bil untuk dibayar, bil perubatan untuk dijelaskan dan sebuah keluarga untuk dijaga.  Tindakan pihak berkuasa membekukan akaun bank saya ini menyebabkan pelbagai kesukaran dan kepayahan untuk saya laksanakan tanggungjawab ini,” jelas Najib.
Sebagaimana rakyat lain, katanya beliau berhak untuk mengakses kebebasan peribadinya sehingga perbicaraan selesai.
Justeru itu beliau memohon semua pihak berkaitan untuk berpegang kepada keluhuran undang-undang dan siasatan tidak berbelah bahagi.
“Jika kita tidak menghormati keluhuran undang-undang dan perlembagaan persekutuan, kita akan menjadi sebuah negara yang gagal,” tegasnya.
Tambah beliau, rekodnya sebagai seorang ahli politik sudah membuktikan beliau seorang democrat, yakin dengan proses yang adil dan integriti mahkamah, perkhidmatan awam dan sistem kehakiman negara ini.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top