.... Mohamad Ariff boleh cadang tangguh pemilihan Speaker | AAKJ



15 JULAI: Kemelut pemilihan Speaker Dewan Rakyat tidak boleh dianggap sudah selesai dengan pengesahan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Yusof dipilih mengisi jawatan tersebut.
Apatah lagi apabila Perdana Menteri menjelaskan hari ini bahawa perkara itu akan diumumkan tak lama lagi, sedangkan Dewan Rakyat akan memulakan persidangan Penggal ke 14, esok.
Sebenarnya, perkara pemilihan ini tidak akan jadi kontroversi jika beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak membuat kenyataan yang menggambarkan calon Speaker belum diputuskan.
Langkah tepat adalah pihak kerajaan PH mengemukakan nama sebelum 2 Julai, iaitu tempoh 14 sebelum persidangan seperti termaktub dalam Peraturan 4, Peraturan Mesyuarat Majlis Mesyuarat (PM),
Malangnya, sehingga Jumaat nama calon Speaker belum diputuskan dan disebalik isu PM4, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Viu Keong mendakwa PH telah menghantar nama pada 2 Julai iaitu sebelum tempoh yang ditetapkan.
Sudah tentu kenyataan pada saat-saat akhir itu menimbulkan keraguan, kemungkinan surat menamakan calon dibuat secara ‘backdated’.
Ini tanggungjawab Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR) Datuk Rosmee Hamzah untuk secara jujur menjelaskan perkara ini sewaktu proses pemasyuran Speaker esok.
Mengulas isu ini, mantan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin mencadangkan satu kaedah bagi merungkai kemelut itu adalah dengan cara Mohamad Ariff sendiri mencadangkan pemilihan itu ditangguh oleh Dewan Rakyat, esok.
“Dengan itu, beliau membolehkan proses menamakan semula calon Speaker dilakukan mengikut PM4 dan PM 4(1) dipatuhi sekaligus akan meningkatkan integriti Speaker yang akan dilantik serta institusi Parlimen,” katanya kepada BNPportal.com
PM 4(1) menetapkan sesiapa yang hendak dipilih sebagai Yang di Pertua (Speaker), hendaklah mempastikan terlebih dahulu ahli itu suka berkhidmat.
Dalam maksud lain, calon Speaker mesti dimaklumkan lebih awal mengenai pemilihannya dan beliau hendaklah menyatakan persetujuan atau minat bagi jawatan tersebut.
Pandikar Amin Mulia
Menurut Pandikar, sebagai bekas hakim yang dikenali dengan integriti, Mohamad Ariff jika berasa keraguan dari segi kesahihan pemilihannya, boleh membetulkan kesilapan tersebut.
“Beliau sendiri tentu tidak mahu kedudukannya  sebagai Speaker tercemar dari segi moral dengan cara pemilihan yang dibuat sekarang tidak mematuhi peraturan.
Jalan terbaik pasti dengan beliau minta penangguhan tersebut sehingga tidak timbul lagi sebarang keraguan sama sekali (without a shadow of doubt) tentang kesahihan pemilihannya.,” jelas beliau lagi.
Katanya, SUDR boleh menangguhkan Dewan selama 14 hari bagi proses menamakan calon Speaker dan timbalan dibuat dengan cara yang betul.
Untuk rekod, Mohamad Ariff pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini apabila menjadi calon PAS di DUN Kota Damansara pada PRU 2004, namun tewas kepada calon UMNO allayarham Datuk Mokhtar Ahmad Dahlan.
Mohamad Ariff ketika ini dilaporkan menjadi ahli PAN.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top