Najib berkata, walaupun Kit Siang telah menafikan perkara itu dan menuduh Najib tidak memahami kenyataan sebenar, namun tajuk artikel yang telah dimuat naik dalam laman web rasmi DAP dan blognya sendiri jelas cuba mengaitkan Islam dengan kleptokrasi.
Bekas Perdana Menteri berkata, tajuk artikel ‘Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis adalah satu ujian penting sama ada Najib telah berjaya menyamakan Islam dengan kleptokrasi di Malaysia’ membuktikan Kit Siang cuba menghubungkan Islam dengan amalan kleptokrasi sekiranya Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan.
Sebaliknya, kata Najib, Kit Siang juga jelas mencadangkan bahawa Islam tidak sama dengan kleptokrasi hanya jika Pakatan Harapan (PH) memenangi PRK tersebut.
“Jika ini bukanlah apa yang beliau maksudkan, jadi apa sebenarnya niat Kit Siang? Mengapa perlu membuat kenyataan dan hubungan sebegitu sejak dari awal lagi?
“Kit Siang hanya perlu meminta maaf dan tidak lagi cuba untuk membuat hubungan sebegitu kepada Islam atau mana-mana agama yang bukan dianutinya,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri sebelum ini mendakwa tuduhan Najib yang mengatakan beliau menyamakan Islam dengan kleptokrasi dianggap sebagai dakwaan liar, salah dan tidak berasas.
Beliau turut menafikan pernah merendahkan martabat Islam atau mana-mana agama lain di dunia kerana semua agama mengajar tentang kebaikan. - UTUSAN ONLINE