.... Memecahkan MARA bermakna meracik-racik tubuh orang Melayu | AAKJ



30 JULAI: Peranan Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak boleh dipecahkan kepada tiga kementerian yang berasingan, tegas Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ujar beliau, tindakan tersebut bukan hanya akan merencatkan usaha organisasi tersebut di dalam memainkan peranannya untuk masyarakat Melayu dan Bumiputera, tetapi juga bertentangan dengan Akta MARA.
“Saya tidak tahu kebenarannya, tetapi daripada laporan-laporan media sosial dan sebagainya, saya difahamkan kerajaan akan memecahkan MARA di bawah tiga kementerian. Iaitu di bawah Kementerian Ekonomi, Kementerian Usahawan dan Kementerian Luar Bandar.
“Saya ingin maklumkan, MARA tidak boleh dipecahkan. Bukan sahaja kerana akan merencat dari segi perancangan pembangunan pendidikan dan juga keusahawanan, tetapi berdasarkan kepada Akta 489 Seksyen 3(1) bahawa MARA apabila ditubuhkan ianya berkekalan turun-temurun dan mempunyai satu menteri.
“Bermakna tidak boleh ada pelbagai kementerian untuk menjaga MARA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Dewan Rakyat, Isnin.
Di bawah kewajipan MARA, ujar Ismail Sabri, tanggungjawabnya adalah untuk membangunkan usahawan dan pendidikan bagi orang Melayu.
Katanya, sehingga hari ini MARA telah berjaya membangunkan hampir sejuta usahawan dan mengeluarkan 1.2 juta pelajar Melayu dan Bumiputera.
“Memecahkan MARA bermakna meracik-racik tubuh orang Melayu. Jadi saya harap MARA terus dikekalkan dan diletakkan di bawah Kementerian Luar Bandar kerana MARA ditubuhkan untuk membangunkan ekonomi dan sosial khususnya masyarakat luar bandar yang juga termaktub di dalam Akta MARA,” katanya.
Di dalam ucapannya itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO itu turut menegaskan bahawa kehidupan rakyat Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidaklah seperti yang diharapkan sewaktu mereka mengundi Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.
Bahkan katanya, kehidupan rakyat selepas PH mengambil alih pentadbiran kerajaan persekutuan menjadi semakin teruk dan tertekan.
“Rakyat terpengaruh dengan janji-janji dalam manifesto untuk menghapuskan tol, menurunkan harga barang, menurunkan harga minyak, menghapuskan PTPTN dan sebagainya. Begitu juga perkara lain seperti bagi kakitangan kerajaan, mereka juga mengharapkan apa yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti kenaikan tangga gaji kepada mereka juga akan diteruskan oleh PH.
“Bagaimanapun selepas PRU sehingga kini harapan menggunung tinggal harapan semata-mata. Kehidupan rakyat bukan menjadi semakin baik, tetapi menjadi semakin teruk dan semakin tertekan,” katanya.
Sebagai contoh katanya adalah janji PH untuk menghapuskan hutang peneroka-peneroka FELDA.
“Peneroka FELDA yakin dengan janji yang dibuat oleh pihak PH bahawa hutang mereka akan dihapuskan. Tetapi sehingga ke hari ini hutang masih belum dihapuskan. Dan bagi peneroka FELDA, pendapatan RM1,500 tidak mencukupi kerana bayaran untuk kos hasil ladang, pengangkutan dan sebagainya melebihi daripada RM1,500.
“Jadi harapan rakyat terutamanya masyarakat luar bandar untuk kehidupan yang lebih selesa sebenarnya bukan sahaja tidak dapat dipenuhi, tetapi hari ini kehidupan mereka lebih sengsara.
“Bagi peneroka FELDA, saya cadangkan pihak kerajaan hari ini supaya menangguhkan pembayaran hutang mereka. Walaupun janji untuk menghapuskan hutang, tapi untuk ketika ini saya cadangkan semua hutang ditangguhkan,” katanya. – Oleh AIDIL SYUKRI


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top