.... Maszlee enggan jawab isu salur dana kepada sekolah swasta Cina | AAKJ



KLANG: Menteri Pendidikan, Maszlee Malik enggan menjawab sebarang kritikan dan gesaan berhubung isu pemberian peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina.
“Kita akan buat pengumuman kemudian,” katanya ketika berkempen untuk calon Pakatan Harapan (PH), Zawawi Ahmad Mughni sempena Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, hari ini.
“Untuk sekarang, kenyataan saya adalah kita sokong penuh Zawawi di DUN Selangor.”
Baru-baru ini, Maszlee dalam jawapan bertulis kepada Datuk Seri Wee Ka Siong di Parlimen berkata, sekolah menengah persendirian Cina tidak termasuk dalam sistem pendidikan kebangsaan dan tidak akan mendapat peruntukan kerajaan.
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh kemudiannya mengingatkan Maszlee berhubung pendirian kerajaan PH menyokong sekolah menengah persendirian Cina dan janji mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Selepas dikritik, Maszlee berjanji menyediakan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina.
Maszlee berkata, peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina akan dimasukkan ke pelan kewangan holistik dalam bentuk perbelanjaan pembangunan.
“Berdasarkan prestasi ekonomi keseluruhan, kami akan berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi memutuskan keperluan dan bentuk peruntukan.”
Sementara itu, Maszlee enggan mengulas keputusan pembekuan sementara program pembiayaan ijazah lanjutan MyBrain.

Sebelum ini, ahli Parlimen Simpang Renggam itu dalam sebuah program bual bicara mengumumkan penangguhan program itu kerana kekangan kewangan disebabkan hutang banyak yang ditinggalkan kerajaan lama.



Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top