Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 10 malam di pintu satu pos pengawal MCKIP.

"Sekumpulan lelaki berkenaan ke pos pengawal itu dan menimbulkan kekecohan sehingga lapan pengawal di situ beredar kerana kumpulan berkenaan bertindak membaling objek, memecahkan cermin dan merosakkan pos pengawal berkenaan.
"Akibat rusuhan itu, empat pengawal keselamatan warganegara China cedera dan seorang daripadanya cedera dipukul dengan objek dipercayai besi. Mangsa yang patah kaki itu dirawat di sebuah hospital swasta di sini dan berada dalam keadaan stabil," katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini hari ini.
Mohamad Noor berkata, punca kejadian ekoran maklumat tular di lamam media sosial pada 10 Julai lalu yang mendakwa seorang pemandu lori warganegara tempatan maut dipukul oleh pengawal keselamatan di MCKIP.
"Saya boleh sahkan bahawa maklumat ini tidak benar dan tidak ada kejadian sedemikian berlaku, ini merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab," ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. - UTUSAN ONLINE