Dalam gelanggang politik dan pentadbiran negara pula, Dr. Mahathir sudah tentu boleh disifatkan sebagai mentor buat Jokowi. Dr. Mahathir jauh lebih dahulu makan garam dalam politik dan sudah masak dengan sepak terajang serta memiliki kemahiran berpolitik dan mengurus negara.
Buat Jokowi, pengalaman, kemahiran serta ilmu yang ada pada Dr. Mahathir tentu sekali harus dimanfaatkan beliau dalam me­nerima kunjungan rakan sejawatan yang paling senior di rantau ini dan di seluruh dunia baru-baru ini.
Justeru, lawatan Perdana Menteri ke negara pertama di Asia Tenggara selepas kali kedua menjawat jawatan yang sama membawa maksud yang cukup signifikan dalam konteks hubungan dua hala antara kedua negara.
Lebih-lebih lagi, apabila Pre­siden ketujuh Indonesia itu sendiri yang menyambut kedatangan Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta pada Khamis lalu, ia menjadi tumpuan media tempatan.
Ini kerana menjadi luar kelaziman bagi seorang Presiden menyambut ketibaan rakan sejawatannya di lapangan terbang seperti yang dilakukan Jokowi tempoh hari. Sebagai pemimpin yang jauh lebih muda daripada Dr. Mahathir, sesuatu yang manis dan menyentuh emosi melihat Jokowi memberikan tanda hormat kepada Perdana Menteri.
Kunjungan Dr. Mahathir ke Jakarta dilaporkan amat dinanti-nanti oleh kerajaan Indonesia kerana lawatan ini melakar satu lagi sejarah tersendiri dalam konteks hubungan dua hala antara kedua-dua negara jiran.
Kepada Dr. Mahathir pula, lawatan rasmi beliau kali ini juga tentu sekali menjadi rekod peribadi yang amat manis untuk dikenang. Kunjungan kali ini sebagai Perdana Menteri ketujuh Malaysia (secara kebetulan Jokowi juga Presiden Indonesia ketujuh) bakal mengulangi nostalgia semasa beliau memimpin negara selama 22 tahun pada 1981 - 2003.
Pada 1994 misalnya, ketika Allahyarham Suharto menjadi Presiden Indonesia, Dr. Mahathir berkunjung ke negara itu dalam rangka kerja sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).
Ketika itu, kedua-dua pemimpin hebat ASEAN itu merakamkan foto kenangan bersama isteri masing-masing di beranda Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat. Dr. Mahathir ditemani Dr. Siti Hasmah manakala Suharto bersama isterinya, Allahyarham Raden Ayu Siti Hartinah atau lebih dikenali sebagai Ibu Tien.
Di beranda yang sama, kali ini Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah kembali menjejakkan kaki dan memberi ruang kepada seluruh media yang mengadakan liputan lawatan rasmi beliau merakamkan kenangan yang sama.
Cuma apa yang membezakan rakaman potret keluarga kali ini ialah, Dr. Mahathir berdiri di samping Presiden Jokowi dan isterinya, Iriana Widodo iaitu pemimpin muda yang menerajui sebuah negara yang memiliki populasi hampir 270 juta penduduk.
Seperti yang disebut, Jokowi tentu sekali akan mengambil kesempatan di atas kunjungan Dr. Mahathir untuk mendengar sendiri perkembangan semasa di Malaysia. Atau barangkali juga Jokowi akan bertanyakan sendiri Dr. Mahathir bagaimana beliau boleh kembali berkuasa.
Apa lagi Jokowi bakal mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden Indonesia bagi penggal kedua pada 2019, tentu sekali banyak yang mahu dipelajari daripada Dr. Mahathir. Perdana Menteri juga sebetulnya menjadi inspirasi kepada sebilangan besar rakyat Indonesia khususnya ahli-ahli politik yang mahu belajar banyak perkara daripada Dr. Mahathir.
Lawatan nostalgia buat Dr. Mahathir dan kunjungan istimewa negarawan ulung bagi pentadbiran Presiden Jokowi merupakan lambang keakraban dua negara jiran.